Kaji keperluan wujudkan pembantu guru, atasi beban tugas guru

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengkaji keperluan mewujudkan pembantu guru bagi mengurangkan beban tugasan yang perlu digalas guru ketika ini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri berkenaan Lim Hui Ying berkata selain itu KPM juga telah melaksanakan tujuh langkah bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani segera bermula sesi persekolahan 2023-2024.

Beliau berkata antara tujuh langkah tersebut iaitu memansuhkan pertandingan, sambutan atau majlis di semua peringkat yang tidak memberi impak besar terhadap pembelajaran murid serta pelaksanaan penilaian kendiri sekolah Standard Kualiti Pendidikan Malaysia tahun 2023 yang melibatkan guru kepada setahun sekali sahaja.

“Menetapkan waktu mengunci masuk rekod kehadiran murid yang lebih fleksibel dalam sistem e-kehadiran sekolah KPM iaitu 12 tengah hari untuk sesi pagi dan 5 petang untuk sesi petang; pelantikan pengawas peperiksaan awam terbuka kepada individu selain guru yang sedang berkhidmat seperti pesara kerajaan, pelajar Institut Pendidikan Guru dan institut pengajian tinggi.

“Mengehadkan penganjuran sambutan Hari Guru Tahunan kepada peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja. Selain itu, autonomi guru dalam perancangan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pentaksiran bilik darjah diperkukuh dengan menjadikan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran sebagai rujukan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Arman Azha Abu Hanifah mengenai  rangka perancangan kementerian bagi menyelesaikan permasalahan beban kerja guru yang membawa kepada persaraan awal golongan pendididik, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Lim turut memaklumkan tindakan guru yang bersara awal akan mengurangkan tenaga guru berpengalaman namun perkara itu tidak dapat dihalang kerana ia merupakan hak setiap guru.

“Kita tidak boleh memaksa untuk mereka terus berkhidmat namun KPM akan cuba sedaya-upaya menggalakKan guru supaya terus mengajar sehingga tibanya waktu mereka untuk bersara wajib pada usia 60 tahun,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1440
Kongsi :
Previous post Wanita hamil lima bulan maut kemalangan
Next post Hari pertama dah ‘ponteng’ puasa…
Ubah saiz-+=