Hawana 2023 mampu wujudkan situasi menang-menang antara media dan kerajaan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Mei – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 yang bertemakan ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ dilihat mampu mewujudkan situasi menang-menang antara media dan kerajaan dalam konteks kebebasan media.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin berkata ini kerana media memerlukan sebuah kerajaan yang membenarkan mereka menjalankan tanggungjawab secara bebas manakala kerajaan pula memerlukan media dalam membantu pembangunan negara.

“Tema HAWANA 2023 kali ini jelas menggambarkan bagaimana sesebuah negara demokrasi itu, di belakangnya adalah satu media yang bebas. Di Malaysia, kebebasan media ini amat digalakkan.

“Jadi dalam usaha ini, kita mengharapkan supaya pada masa jangka panjang akan ada kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak (media dan kerajaan),” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Selain itu, Roslan berkata situasi media di Malaysia berada pada kedudukan yang baik dan ini dapat dibuktikan apabila negara berada di tangga ke-73 Indeks Kebebasan Media Dunia 2023 dan yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.

“Kita berjaya memperbaiki indeks kebebasan akhbar itu berbanding tahun lepas yang berada pada kedudukan 113 daripada 180 negara…itu yang dikatakan sebuah media yang bebas akan memberikan kelebihan kepada sesebuah negara,” katanya.

Sambutan HAWANA 2023 bakal diadakan di Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.

HAWANA 2023 akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti forum media melibatkan wartawan dari negara ASEAN, karnival mini, pertandingan mencari harta karun dan boling.

Majlis Kemuncak HAWANA 2023 akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan pemain industri yang menjadi medium bagi membentuk minda masyarakat bermaklumat dalam memupuk kerjasama dan memacu perubahan positif dalam industri.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

905
Kongsi :
Previous post Gegau Seni Budaya @Melaka, 27 dan 28 Mei ini
Next post Pekerja kilang maut digilis lori
Ubah saiz-+=