Gegau Seni Budaya @Melaka, 27 dan 28 Mei ini

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

AYER KEROH 24 Mei – Demi menyuburkan warisan seni dan budaya di negara ini, sebuah program Menyemarakkan Seni dan Budaya – Gegau Seni Budaya @Melaka (GSBM), akan diadakan di Kompleks JKKN Melaka, Lebuh Ayer Keroh, 27 dan 28 Mei ini.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka dan Pertubuhan Seni Kesdiangan Sari (PERSIDANG) itu turut mendapat kerjasama Kerajaan Negeri Melaka dan agensi-agensi di bawahnya.

Ia dijangka diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, selain turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Saraya Arbi serta Exco Pelancongan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

GSBM 2023 siri 1 itu yang berlangsung selama dua hari itu merupakan salah satu inisiatif MOTAC dan JKKN bagi mengembalikan peranan Kompleks JKKN Melaka sebagai salah satu hab atau pusat menyemarakkan aktiviti seni, budaya dan nilai-nilai murni.

Ia juga diadakan bagi mempersiapkan para penggiat seni menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Selain itu, program berkenaan turut mengetengahkan pelbagai aktviti berteraskan seni budaya, warisan, keilmuan, keusahawanan, gaya hidup dan pencungkilan bakat anak-anak muda negeri Melaka.

Secara keseluruhan, sebanyak 16 program bakal diadakan pada siri pertama ini, merangkumi dua program berbentuk persembahan, tiga program berbentuk bengkel dan keilmuan, tujuh pertandingan dan pencungkilan bakat serta dua program keusahawanan.

Antara pengisian program yang diatur sepanjang program berkenaan ialah Bicara Karya: TANAH AIR; Malam Gala Gegau Seni Budaya @Melaka (27 Mei); Muzikal “Cak Kun Cak” (27 Mei); Kopi-kopi Dondang Sayang Vol. 1 (27 Mei) dan Pameran dan Jualan Seniaga Melaka (27 dan 28 Mei).

Selain itu, turut diadakan Pertandingan Juara Pantun Melaka -Terbuka (27 dan 28 Mei); Bengkel Nyanyian Irama Malaysia (27 dan 28 Mei); Bengkel Tari Hujung Minggu – Resital (27 dan 28 Mei); Pertandingan Panahan Tempur (Combat Archery – 27 Mei); Pertandingan Seni Tempur Bela Diri (27 Mei); Sesi Bedah Karya “Tanah Air” (27 Mei), Cabaran Gasing Terbuka – Kategori Duo & Bertiga (28 Mei), Miss Grand Kebaya Cilik (28 Mei) dan Pertandingan Peragaan Cosplay (28 Mei).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1302
Kongsi :
Previous post Sesi persekolahan 2024/2025 bermula Mac 2024
Next post Hawana 2023 mampu wujudkan situasi menang-menang antara media dan kerajaan
Ubah saiz-+=