Hentikan kecaman, bapa maafkan jurulatih

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

ALOR GAJAH 3 Januari – Bapa kepada pemain bola tampar yang tular ditampar jurulatihnya ketika perlawanan di Johor, baru-baru ini, meminta masyarakat untuk tidak terus memperbesarkan insiden itu dan menghentikan kecaman terhadap jurulatih terbabit.

Abdul Halim Bakar, 50, berkata, bagi pihaknya tiada tindakan lanjut yang mahu diambil kerana menganggap perkara itu selesai selain sudahpun memaafkan jurulatih berkenaan yang sudah melatih dua anaknya sejak sekian lama.

“Hentikanlah kecaman itu dan saya juga harap tiada tindakan yang akan diambil terhadap jurulatih anak saya. Kejadian itupun bukannya sampai cedera.

“Sekiranya saya ingin ambil tindakan, hari kejadian lagi sudah dibuat laporan. Malah selepas insiden itu juga anak saya terus bangkit dengan prestasi yang lebih baik,” katanya.

Menurut juruteknik kilang itu, dua anaknya masing-masing berusia 14 dan 16 tahun berada dibawah bimbingan jurulatih terbabit dan banyak jasa beliau dalam mendidik serta melatih anaknya sehingga membolehkan mereka mewakili Melaka.

Katanya, jurulatih itu banyak mengorbankan masa dan tenaga dalam membangunkan sukan bola tampar negeri malah dia juga ada mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk melatih anak-anak.

“Besar jasanya untuk sukan bola tampar ini. Takkanlah kerana silap yang sedikit, kita mahu lupakan sumbangan yang dibuat sebelum ini.

“Malah anak-anak turut memaklumkan meskipun jurulatihnya itu seorang yang tegas namun tidak pernah bertindak seperti itu sebelum ini dan insiden baru-baru ini adalah pertama kali berlaku,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa dua pemain bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih, semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pertemuan itu adalah untuk mendapatkan maklum balas ibu bapa pelajar itu berkaitan insiden yang menimpa anak mereka.

Semalam, Melaka Hari Ini melaporkan, keputusan sama ada khidmat jurulatih B-14 (wanita) Melaka yang didakwa menampar dua pemain remaja perempuan diteruskan atau sebaliknya akan diketahui Rabu ini.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri VP Shanmugam berkata, beliau akan menyelesaikan isu itu dengan sebaiknya dengan mengambil kira semua faktor.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1401
Kongsi :
Previous post Kuatkuasa semula pemakaian pelitup muka jika kes di Melaka meningkat -Exco
Next post 40 peserta berkayak merentasi pulau di Melaka
Ubah saiz-+=