Kuatkuasa semula pemakaian pelitup muka jika kes di Melaka meningkat -Exco

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MERLIMAU 3 Januari – Sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19, Kerajaan Negeri meminta penduduk termasuk pelancong yang datang ke Melaka supaya memakai pelitup muka ketika berada di tempat tertutup dan tumpuan orang ramai.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ia susulan pertambahan bilangan kes COVID-19 di seluruh dunia pada ketika ini.

“Pihak Kerajaan Negeri mengambil maklum dan serius mengenai bilangan kes yang bertambah, sehubungan itu kami memohon orang ramai sama ada rakyat Melaka mahupun pelancong yang datang ke negeri ini untuk memakai pelitup muka terutamanya di tempat tertutup dan tumpuan ramai.

“Kami akan memantau dalam tempoh dua minggu ini dan jika penularan kes meningkat naik, kita tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasa semula undang-undang pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan di kawasan orang ramai,” katanya.

Media melaporkan, Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 360 kes dengan satu kes import.

Jumlah terbabit lebih rendah berbanding kelmarin yang merekodkan sebanyak 420 kes sekali gus diatasi 423 kes sembuh.

Bagi kes positif baharu, Selangor menjadi negeri tertinggi dengan mencatatkan kes tiga angka iaitu 109 kes.

Negeri yang mencatat bawah 100 kes pula ialah Kuala Lumpur (40), Kedah (32), Sarawak (23), Pulau Pinang (21), Melaka (21), Johor (19), Perak (17), Kelantan (15), Pahang (15), Negeri Sembilan (14), Sabah (10), Putrajaya (11) dan Terengganu (11).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2172
Kongsi :
Previous post Kebakaran kedua Wisma Jakel: Bomba fokus unsur sabotaj, sisa bara api
Next post Hentikan kecaman, bapa maafkan jurulatih
Ubah saiz-+=