
JADIKAN MELAKA SAYANG RAKYAT JIWA PERKHIDMATAN AWAM – AB RAUF
AYER KEROH 21 September – Menjadikan Melaka Sayang Rakyat sebagai jiwa perkhidmatan menjadi antara tiga pesanan utama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada seluruh penjawat awam negeri.
Beliau berkata, gagasan tersebut perlu diterapkan kerana rakyat tidak menilai kerajaan daripada slogan yang dilaungkan, tetapi daripada layanan yang mereka terima dan masalah yang diselesaikan.
Selain itu, beliau mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa menjaga integriti kerana jawatan bukan keistimewaan, sebaliknya satu amanah.
“Jangan kerana satu keputusan yang salah, nama sendiri tercalar dan kepercayaan rakyat kepada seluruh perkhidmatan awam turut terjejas.
“Kalau amanah rakyat kita pegang, kepercayaan rakyat jangan sesekali kita gadaikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Dalam Program Anjuran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf turut berpesan kepada penjawat awam agar memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan dan mutu kerja, namun pada masa sama tidak membiarkan teknologi menggantikan pertimbangan manusia.
“Manfaatkanlah kecerdasan buatan dengan bijak. Saya mahu penjawat awam Melaka menggunakan AI untuk bekerja lebih pantas, lebih tepat dan lebih baik.
“Tetapi ingat, guna AI untuk membantu kita berfikir, bukan menggantikan kita berfikir,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, penjawat awam perlu menjadikan Melaka Sayang Rakyat sebagai jiwa dalam melaksanakan setiap tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
Menurutnya, pendekatan itu perlu diterjemahkan melalui tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, termasuk memastikan setiap masalah ditangani dengan baik dan perkhidmatan diberikan secara berkesan.
“Apa pun perjalanan selepas ini, jika saya terus diberikan amanah untuk terus menerajui pentadbiran ini, saya berharap semangat kebersamaan ini terus kita pertahankan.
“Yang baik kita teruskan, yang kurang kita perbaiki, dan yang paling penting, kita pastikan pentadbiran negeri ini terus bergerak demi rakyat dan demi Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


