
‘MELAKA TAK RELAKS’ TANDA NEGERI SEDANG BERGERAK MAJU – AB RAUF
AYER KEROH 21 September – ‘Melaka tak relaks’ bukan sekadar menggambarkan padatnya jadual program dan aktiviti kerajaan, sebaliknya menjadi tanda negeri itu sedang bergerak maju, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, kepadatan program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri merangkumi usaha menggerakkan pembangunan, merancakkan ekonomi, menghidupkan sektor pelancongan, mendekati rakyat serta membawa nama Melaka ke pentas negara dan dunia.
“Bagi saya, ‘Melaka tak relaks’ bukan cerita tentang banyaknya program. Itu tanda negeri ini sedang bergerak.
“Kita gerakkan pembangunan, kita rancakkan ekonomi, kita hidupkan pelancongan, kita dekati rakyat dan kita bawa nama Melaka semakin jauh ke pentas negara dan dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Petugas-Petugas Perkhidmatan Awam Dalam Program Anjuran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025/2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, momentum berkenaan tidak akan dapat digerakkan tanpa komitmen dan pengorbanan penjawat awam yang bekerja di sebalik tabir setiap penganjuran program.
Beliau berkata, komitmen penjawat awam turut terserlah apabila mereka bersama-sama turun padang dalam pelaksanaan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di seluruh Melaka.
“Apabila saya minta kaunter dibuka waktu rehat, tuan-tuan sambut. Apabila saya turun Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat, tuan-tuan ikut turun.
“Apabila kita bawa WRUR merentas satu demi satu DUN, tuan-tuan bersama saya sampai kita sempurnakan kesemua 28 DUN,” katanya.
Beliau berkata, segala usaha itu membuktikan penjawat awam bukan sekadar menyokong agenda merakyatkan pentadbiran, sebaliknya menjadi penggerak utama dalam memastikan setiap inisiatif Kerajaan Negeri dapat direalisasikan.
“Pendek kata, apa sahaja ikhtiar kita untuk merakyatkan pentadbiran, saudara dan saudari tidak sekadar menyokong, saudara dan saudarilah yang menjadikannya kenyataan!” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan media yang sentiasa membuat liputan pelbagai program dan aktiviti Kerajaan Negeri dari pagi hingga malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

