‘SUMBANGAN RUMAH JADI PERMULAAN BAHARU KELUARGA ZAKARIA’

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

RIM 22 September – Kediaman baharu bagi menggantikan rumah usang berusia kira-kira 80 tahun akan menjadi permulaan lembaran baharu kehidupan Zakaria Dali, 71, dan keluarganya.

Meskipun keberatan kerana kediaman uzur menyimpan pelbagai kenangan termasuk pengalaman membesarkan lapan anaknya bakal dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan rumah baharu, warga emas ini akur demi kebaikan semua ahli keluarganya.

Jelasnya, struktur kediaman itu juga tidak lagi selamat untuk diduduki kerana setiap hari semakin banyak kayu dan papan yang reput akibat dimakan anai-anai.

Zakaria yang juga Sidang Kampung Terentang sejak 1989 berkata, dia tidak mampu menyembunyikan rasa sebak apabila dimaklumkan kediamannya akan dibina semula menerusi Program Melaka Rumahku (PMR-Bina Baru) oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

“Hati saya sebak bila terima khabar ini, bersyukur sangat kepada Allah SWT, inilah berita gembira yang sekian lama saya nanti-nantikan. Paling utama adalah keselamatan keluarga, kerana selain isteri empat anak termasuk tiga orang kurang upaya (OKU) intelektual tinggal bersama di rumah ini.

“Sebelum ini saya pernah menerima bantuan baik pulih termasuk menggantikan zink, namun faktor usia ditambah serangan anai-anai menyebabkan keadaan rumah semakin teruk, sudah uzur sangat,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Terentang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, di sini, semalam.

WhatsApp Image 2026 09 21 at 4.48.48 PM
KEADAAN rumah Zakaria yang sudah usang dan akan dibina baharu menerusi Program Melaka Rumahku (Bina Baru) oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM) demi keselesaan keluarganya.

Dia ditemui selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Bina Baru Rumah, Sumbangan Baik Pulih Rumah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Penyampaian Tunai serta Kit Makanan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rim.

Surat tawaran bagi bantuan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang diiringi Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.

Menurutnya, perkhabaran itu dianggap sebagai kejutan buat dirinya kerana hanya tahu mengenai bantuan berkenaan daripada pegawai Japerun RIM pada saat akhir.

“Saya terperanjat apabila diberitahu rumah Tok Sidang akan dibina baharu. Sudah tentu kediaman baharu ini sangat bermakna untuk keluarga saya kerana saya bersama isteri dan empat anak masih menetap di rumah ini.

“Rumah baharu ini akan ada tiga bilik tidur dengan nilai kira-kira RM70,000 dan saya harap selepas ini kami sekeluarga dapat tinggal dengan lebih selesa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

352
Kongsi :
Previous post SELEPAS HAMPIR TIGA TAHUN, SIMPANG CHABAU KINI LEBIH TERATUR
Next post ZAHARI LAKSANA 80 PERATUS MENIFESTO DURIAN TUNGGAL