SELEPAS HAMPIR TIGA TAHUN, SIMPANG CHABAU KINI LEBIH TERATUR

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

RIM 22 September – Simpang Chabau yang sebelum ini menjadi antara lokasi berisiko berlaku kemalangan kini lebih teratur selepas kerja menaik taraf membabitkan peruntukan lebih RM1 juta dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, kerja-kerja naik taraf turut melibatkan pemasangan lampu isyarat yang menjadikan aliran trafik  lebih lancar.

“Selepas hampir tiga tahun kita usahakan bajet, minta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Exco Kerajaan Negeri terlibat datang, akhirnya kita dapat peruntukan lebih RM1 juta untuk tambah baik.

“Alhamdulillah simpang tersebut dilebarkan, dipasang lampu isyarat dan kini menjadi lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Bina Baru Rumah, Sumbangan Baik Pulih Rumah Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Penyampaian Tunai serta Kit Makanan sempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Rim yang turut dihadiri Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom di Kampung Terentang, di sini, hari ini.

Menurutnya, isu persimpangan berkenaan merupakan antara masalah legasi yang diberi keutamaan untuk diselesaikan sepanjang tempoh pentadbirannya.

Katanya, keadaan simpang yang sebelum ini sukar dikenal pasti bentuknya serta tiada lampu isyarat menyebabkan lokasi itu sering menjadi kebimbangan pengguna.

“Bukan sahaja kereta, lori-lori besar pun banyak lalu di sana. Jadi insya-Allah kuranglah isu seperti kemalangan jalan raya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

427
Kongsi :
Previous post PARAKOM LAHIRKAN HAMPIR 2,000 SUKARELAWAN SEJAK DIPERKENALKAN