40 peserta berkayak merentasi pulau di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

TELOK MAS 3 Januari – Seramai 40 peserta kayak menyertai Program Paddle New Year merentasi tiga pulau di Melaka bagi meningkatkan populariti pulau sebagai destinasi utama pelancong yang mahu melakukan aktiviti rekreasi laut dan pantai.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM) Azhar Yaacob berkata kesemua peserta yang terlibat melakukan aktiviti berkayak bermula pada jam 8 pagi di Pantai Siring ke Pulau Burung, Pulau Lalang dan Pulau Besar.

“Program begini secara tidak langsung meningkatkan lagi populariti pulau yang ada di Melaka sebagai destinasi untuk melakukan aktiviti rekreasi laut dan pantai bersama rakan-rakan dan keluarga.

“Ekspedisi ini tamat pada jam 1.30 petang selepas para peserta makan tengah hari di Pulau Besar dan seterusnya menaiki bot pulang ke Pantai Siring.

“Aktiviti ‘bakau trekking’ turut diadakan di Pulau Burung dan sesi bergambar di ketiga-tiga pulau tersebut sebagai tanda kenangan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2023-01-03 at 4.36.27 PM
AKTIVITI berkayak merentasi pulau-pulau di Melaka.

Program itu merupakan anjuran Kelab Sukan Rekreasi Redtma dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka yang dibantu Pasukan Polis Marin bagi kawalan keselamatan peserta.

Ujarnya, Pulau Burung merupakan pulau yang kaya dengan kehadiran pelbagai spesis burung yang menarik pengunjung untuk datang serta memberi pengalaman untuk merasai sendiri aktiviti bakau ‘trekking’.

“Keindahan Pulau Besar juga tidak dilupakan kerana kemudahan awam yang telah ditambah baik bagi memudahkan pengunjung untuk menjalankan aktiviti rekreasi dan beriadah.

“Diharap tahun ini lebih ramai pelancong dari seluruh negara datang ke pulau-pulau yang ada di Melaka bagi merasai pengalaman berkayak dari pulau ke pulau serta menyertai pelbagai program dan aktiviti yang disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2357
Kongsi :
Previous post Hentikan kecaman, bapa maafkan jurulatih
Next post Kebakaran Wisma Jakel: Polis ambil alih kes jika ada unsur khianat
Ubah saiz-+=