Hidilyn tidak lupa ‘keluarga’ di Jasin selepas menang emas Olimpik

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

KESANG 27 Julai – Hanya rasa bangga dan terharu dapat diluahkan Ahmad Janius Abdullah, 50, atas kejayaan jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz yang meraih pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, semalam.

Apa tidaknya, atlet yang memecahkan dua rekod Olimpik kategori wanita 55 kilogram (kg) itu dianggap seperti keluarga sendiri apabila hampir setahun berlatih di garaj rumah ibu mentuanya di sini.

Bukan mahu menumpang populariti, apatah lagi mahu mendapatkan kredit, namun Ahmad Janius cukup berbangga kerana atlet berusia 30 tahun itu tidak melupakan dirinya apabila memenangi pingat emas.

“Sebelum beraksi saya ada menghubunginya untuk memberikan kata-kata semangat.

“Antara pesanan saya kepadanya adalah beraksi lebih baik dalam angkatan pertama ‘Snatch’ kerana itu antara kelemahannya dan jelas dia mengambil serius pesanan itu dan beraksi lebih baik sekali gus meraih emas.

“Apa yang membuatkan saya terharu ialah dia sendiri menghubungi saya sejurus memenangi pingat emas malam tadi dan mengucapkan terima kasih kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kesang Tua, hari ini.

Bercerita lanjut, Ahmad Janius yang juga Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berkata, dia mula mengenali Hidilyn pada 2011 dalam pertandingan angkat berat.

Bermula dari situ mereka selalu berhubungan sehinggalah pada tahun lalu, Hidilyn memaklumkan ingin mengubah angin dengan berlatih di Malaysia sebagai persiapan untuk Kelayakan Olimpik di Colombia pada Mac 2020.

“Dia tiba pada Januari tahun lepas, namun akibat COVID-19 dan ‘lockdown’, kejohanan itu tergendala dan dia bersama dua jurulatihnya tersangkut di Kuala Lumpur.

“Pada mulanya, mereka berlatih di kondominium di Bukit Jalil, namun lokasi itu tidak sesuai untuk latihan dan dia menumpang pula di Pusat Latihan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua dikenakan di Lembah Klang.

“Akibat latihan yang sering terganggu, pada 16 September 2020 saya akhirnya membawa mereka ke Kampung Kesang ini dan dari situlah bermulanya latihan mereka di garaj berkenaan,” katanya.

Menurutnya, pada awalnya rumah di Kampung Kesang Tua itu hanyalah rumah tinggal dipenuhi belukar.

Katanya, bagi membantu latihan Hidilyn, dia telah mengubah suai kawasan rumah itu hingga garaj yang pada awalnya kosong menjadi seakan-akan gimnasium terbuka.

“Hidilyn memang agak cerewet dan mementingkan kesempurnaan fasiliti latihan dan saya berusaha sedaya upaya untuk memastikan kawasan itu menepati apa yang dia mahukan.

“Walaupun pada awalnya, dia nampak tidak selesa, namun lepas seminggu dia mula menyesuaikan diri.

“Akhirnya dia bukan sahaja menjalani latihan dengan baik, bahkan mula jatuh cinta pada Melaka,” katanya.

Ahmad Janius berkata, sehingga kini barangan milik Hidilyn masih lagi di rumahnya dan atlet terbabit memaklumkan akan kembali ke Melaka dalam masa terdekat bagi kejohanan berikutnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post Pandelela, Mun Yee gagal sumbang pingat melalui acara terjun
Next post Tutup Hospital Medan di Labuan, buka di Melaka – Dr Adham
Ubah saiz-+=