Tutup Hospital Medan di Labuan, buka di Melaka – Dr Adham

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KUALA LUMPUR 27 Julai – Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Labuan akan ditutup hari ini sekali gus membolehkan kemudahan itu dibawa dan dibuka di Melaka.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, selain itu sebanyak 10 unit rawatan rapi (ICU) Modular di Hospital Melaka telah dibina dan berfungsi sepenuhnya.

Katanya, penutupan Hospital Medan ATM di Labuan dilakukan kerana pulau bebas cukai itu Wilayah Persekutuan dan negeri pertama di Malaysia mencapai imuniti kelompok dan kes jangkitan COVID-19 juga menurun.

“Hospital Medan hari ini kita tutup di Labuan, kita bawa balik Hospital Medan itu ke Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Poay Tiong dan Shamsul Iskandar meminta Dr Adham menerangkan apakah perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah unit rawatan rapi (ICU) Hospital Melaka yang sudah mencapai tahap maksimum selain kedudukan pembinaan Hospital Medan sama ada ia akan ditangguh atau diteruskan.

Terdahulu Dr Adham berkata, bagi meningkatkan kapasiti katil merawat COVID-19 di hospital awam, pengubahsuaian ruangan tertentu di dalam dan di luar bangunan hospital untuk dijadikan wad dan ICU sementara sudah dilaksanakan.

Ia katanya termasuk pembinaan Hospital Medan, ICU Medan, ICU Modular dan penggunaan ICU di hospital swasta.

“Setakat ini, tiga ICU Modular disediakan dan beroperasi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Kepala Batas dan Hospital Melaka,” katanya.

Melaka Hari Ini pada 20 Julai lalu melaporkan, hasrat Melaka untuk membangunkan sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Jasin bagi menyokong fasiliti kesihatan negeri terpaksa ditangguhkan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, ia berikutan pihaknya difahamkan segala aset-aset oleh pihak ATM telah habis digunakan untuk keperluan negeri Selangor paling kritikal dibadai COVID-19 ketika ini.

Sebelum itu MHI melaporkan, sebuah Hospital Medan akan dibina di Jasin bagi merawat pesakit bukan COVID-19 di negeri ini.

Pembinaan itu bagi memberikan kemudahan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menumpukan sepenuhnya merawat pesakit COVID-19 di Hospital Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

658
Kongsi :
Previous post Hidilyn tidak lupa ‘keluarga’ di Jasin selepas menang emas Olimpik
Next post Asam pedas Melaka kegemaran juara Olimpik
Ubah saiz-+=