Asam pedas Melaka kegemaran juara Olimpik

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KESANG 27 Julai – Siapa sangka juara angkat berat Olimpik Tokyo 2020 dari Filipina, Hidilyn Diaz sebenarnya seorang peminat tegar asam pedas Melaka.

Perkara itu dikongsikan keluarga angkatnya di Melaka, Ahmad Janius Abdullah, 50, ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di rumahnya di Kampung Kesang Tua, Jasin, hari ini.

Katanya, sejak ‘berkampung’ di Melaka pada 16 September tahun lalu, sudah banyak kedai asam pedas di negeri ini dicuba anak jati Zamboanga, Filipina itu.

“Memang dia sangat ‘gilakan’ asam pedas. Boleh dikatakan semua kedai asam pedas di Jasin ini pernah dicubanya.

“Bila dia datang ke Melaka memang dia sudah jatuh cinta di negeri ini kerana katanya semua makanan di Melaka murah, berbanding di tempat-tempat lain,” katanya.

Meskipun begitu, Ahmad Janius berkata, Hidilyn hanya akan makan apa yang digemarinya pada waktu tertentu sahaja kerana dia begitu mementingkan aspek pemakanan ketika berlatih.

Katanya, apabila Hidilyn memberi fokus dan tumpuan penuh kepada sesi latihan, semua pemakanannya akan dijaga rapi.

“Bab pemakanan dia memang betul-betul jaga sehinggakan semua makanannya akan ditimbang menggunakan timbang digital.

“Perkara itu penting untuk tidak menjejaskan rentak latihan dan pada masa sama untuk menjaga ‘shape’ badannya untuk menghadapi Olimpik.

“Selain itu, antara perkara yang paling saya hormat ialah disiplinnya selepas latihan yang mana dia tidak terus memegang telefon bimbit seperti atlet lain, sebaliknya dia akan melakukan regangan dan mengemas tempat latihan,” katanya lagi.

Semalam, Hidilyn mencipta sejarah buat Filipina apabila menjadi atlet pertama meraih pingat emas Olimpik buat negara itu menerusi acara wanita 55 kilogram (kg).

Hidilyn melakukan angkatan terakhir 127 kg sekali gus menafikan pemegang rekod dunia dan juga bekas pemenang pingat emas Olimpik Rio 2016 dari China, Liao Qiuyun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post Tutup Hospital Medan di Labuan, buka di Melaka – Dr Adham
Next post Hidilyn tak lokek kongsi ilmu dengan atlet pelapis Melaka
Ubah saiz-+=