Hidilyn tak lokek kongsi ilmu dengan atlet pelapis Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KESANG 27 Julai – Tidak hanya berlatih di Kampung Kesang Tua, bahkan kehadiran Hidilyn Diaz di bumi bersejarah Melaka turut dianggap satu rahmat buat atlet pelapis angkat berat di negeri ini.

Ia apabila pemenang baharu pingat emas angkat berat wanita di Sukan Olimpik itu turut berkongsi ilmu kepada empat atlet pelapis angkat berat sepanjang 11 bulan berada di Melaka

Keluarga angkatnya Ahmad Janius Abdullah berkata, sepanjang berada di Melaka, Hidilyn turut berlatih bersama atlet berusia lingkungan 12 hingga 15 tahun dan tidak lokek berkongsi ilmu mengenai sukan angkat berat.

“Ilmu yang diterima murid-murid ini sangat berharga kerana dia sebelum ini pemenang pingat perak Olimpik 2016 dan siapa sangka kini namanya terpahat sebagai pemenang pingat emas pula pada temasya Olimpik kali ini.

“Bukan sahaja ilmu bersama juara, tetapi mereka juga dapat menimba ilmu daripada dua jurulatih berpengalaman dari China dan Guam yang bersama Hidilyn dan telah mengajar mereka bermula dari bawah.

“Saya yakin dengan tunjuk ajar yang diberi, kesemua atlet pelapis ini boleh jadi wakil Malaysia di masa akan datang dan seterusnya memenangi pingat buat negara dalam kejohanan akan datang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Melihat kepada impak positif yang terhasil daripada kejayaan Hidilyn, Ahmad Janius yang juga Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berharap agar kerajaan mula memandang sukan angkat berat sebagai satu daripada prospek pingat negara pada masa akan datang.

Beliau berkata, bermula dari sekarang kerajaan sudah boleh memberi perhatian kepada pembangunan fasiliti angkat berat yang lebih sempurna agar Malaysia dapat melahirkan juara dunia seterusnya.

“Kita berharap usaha untuk mencungkil bakat ini dapat dimulakan daripada sekarang dengan kewujudan akademi angkat berat dan juga pembangunan akar umbi sukan ini.

“Apa yang penting mentaliti semua pihak di pelbagai peringkat juga perlu diubah untuk melihat sukan ini sebagai sukan yang boleh menghasilkan pingat buat negara.

“Kita berharap dengan usaha yang dilakukan bermula sekarang kita dapat mencungkil bakat bermula di peringkat sekolah rendah supaya mereka dapat pergi jauh dan mungkin memenangi pingat emas Olimpik buat negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

900
Kongsi :
Previous post Asam pedas Melaka kegemaran juara Olimpik
Next post 1,200 penduduk Asahan terima vaksin menerusi inisiatif MOVAK
Ubah saiz-+=