Pandelela, Mun Yee gagal sumbang pingat melalui acara terjun

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KUALA LUMPUR 27 Julai – Gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee gagal membutirkan pingat buat kontinjen negara pada temasya Sukan Olimpik 2020 menerusi acara platform 10 meter seirama wanita, hari ini.

Pada saingan akhir di Pusat Akuatik Tokyo kedua-dua ratu terjun negara itu sekadar meraih 277.98 mata untuk berada di kedudukan kelapan.

Bukan saja kempunan meraih kilauan pingat pertama negara, malah mereka gagal mempertahankan pingat perak dimenangi di Rio 2016.

Pingat emas acara itu dimenangi gandingan penerjun China, Chen Yuxi dan Zhang Jiaqi yang mengumpul 363.78 manakala atlet Amerika Syarikat, Delaney Schnell dan Jessica Parratto meraih perak dengan 310.80 mata.

Pingat gangsa dimenangi Alejandra Orozco Loza dan Gabriela Agundez Garcia dari Mexico yang mengumpul 299.70 mata dalam final acara itu.

Sementara itu, kekecewaan dua penerjun negara turut dikongsikan peminat sukan tanah air.

Menurut ciapan di Twitter Team Malaysia, beberapa kesilapan dilakukan menyebabkan mereka gagal meraih pingat.

“Ada beberapa kesilapan yang dilakukan tadi menyebabkan kita terlepas meraih pingat hari ini. Unlucky. Anda berdua dah buat yang terbaik,” katanya.

Pengguna Twitter, Weddyhyy pula berkata, harapan Malaysia untuk meraih pingat kini disandarkan kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan juara All England, Lee Zii Jia.

“Tinggal Lee zii jia dengan Azizulhasni Awang je harapan kita, tah kenapa Pandelela ngn (dengan) pasangan dia drop harini, apa ii (apa-apa) pun dah cuba yang terbaik,” katanya.

Razak Bundle pula menyatakan “Sedih betul… bangkit!”

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

347
Kongsi :
Previous post Tak mengaku rogol, lakukan amang seksual terhadap anak saudara
Next post Hidilyn tidak lupa ‘keluarga’ di Jasin selepas menang emas Olimpik
Ubah saiz-+=