
RM300,000 NAIK TARAF PADANG TAMAN DATUK SETIA
AYER LIMAU 4 Oktober – Penduduk Taman Datuk Setia kini boleh menikmati kemudahan riadah yang lebih selesa apabila padang awam di kawasan itu siap dinaik taraf membabitkan kos RM300,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, kerja naik taraf berkenaan meliputi pemasangan pagar baharu serta baik pulih padang futsal bagi memastikan kemudahan berkenaan lebih selamat dan sesuai digunakan penduduk.
“Alhamdulillah, kerja naik taraf Padang Mula Sepak Taman Datuk Setia dengan kos RM300,000 telah siap sepenuhnya dan penduduk kini dapat menikmati kemudahan yang selesa,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Hameed, kemudahan sukan dan rekreasi yang baik penting dalam menyediakan ruang kepada masyarakat setempat untuk menjalankan aktiviti sihat selain mengeratkan hubungan dalam kalangan penduduk.
Katanya, kemudahan berkenaan juga boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti komuniti, khususnya membabitkan golongan belia dan kanak-kanak di kawasan Taman Datuk Setia.
“Ini bukan sekadar soal membaiki padang, tetapi kita mahu menyediakan ruang yang boleh digunakan masyarakat untuk bersukan, beriadah dan menjalankan aktiviti bersama.
“Kita harap penduduk dapat menjaga kemudahan ini dengan baik supaya manfaatnya dapat dinikmati dalam tempoh yang panjang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

