
LEBIH 1,000 ANAK MELAKA DAPAT MANFAAT KURSUS KAHWIN PERCUMA
AYER KEROH 4 Oktober – Seramai 1,002 bakal pengantin di Melaka mendapat manfaat Kursus Kahwin Percuma anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) yang dikendali anak syarikatnya MAIM Holdings Berhad menerusi lima siri yang dilaksanakan tahun ini.
Pengurus Besar MAIM Holdings Berhad Amirul Basiron berkata, pelaksanaan kursus berkenaan membabitkan peruntukan RM110,220 dan diadakan mengikut Parlimen dalam negeri ini.
“Usaha ini memberi peluang kepada golongan yang memerlukan untuk mendapatkan ilmu dan persediaan sebelum berkahwin tanpa dibebani kos,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut beliau, secara keseluruhan seramai 4,535 peserta telah mengikuti Kursus Kahwin anjuran MAIM Holding Berhad menerusi 35 siri sepanjang tahun ini dengan kos keseluruhan RM498,850.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 3,533 peserta mengikuti Kursus Kahwin Berbayar menerusi 30 siri dengan kos RM388,630.
“Pelaksanaan kursus ini mencerminkan komitmen MAIM menerusi MAIM Holdings Berhad dalam menyediakan persediaan kepada bakal pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.
“Bukan sahaja aspek asas perkahwinan diberi perhatian, malah peserta turut didedahkan kepada pengetahuan dan panduan yang dapat membantu mereka membina kehidupan berkeluarga dengan lebih baik,” katanya.
Menurut Amirul, usaha berkenaan membuktikan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) terus diperkasa bagi memastikan lebih ramai rakyat dibantu menerusi kursus yang memberi manfaat sebelum mendirikan rumah tangga.
“Pendidikan dan persediaan sebelum perkahwinan amat penting kerana alam rumah tangga memerlukan kefahaman, tanggungjawab dan kesediaan daripada kedua-dua pihak.
“Kita berharap peserta dapat memanfaatkan sepenuhnya ilmu yang diperoleh sepanjang kursus dan menjadikannya sebagai panduan dalam membina keluarga yang harmoni,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

