DARI KANDANG HINGGA LANDSKAP, ZOO MELAKA AKAN DICERIAKAN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 4 Oktober – Zoo Melaka bakal menerima sentuhan warga Kerajaan Negeri menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) pada minggu hadapan, membabitkan aktiviti penjagaan haiwan, pembaikan kemudahan dan menceriakan kawasan zoo.

Pengurus Besar Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh berkata, program berkenaan akan melibatkan warga Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) menerusi aktiviti gotong-royong bersama pihak Zoo Melaka.

Menurutnya, antara aktiviti yang dirancang termasuk membantu menyediakan makanan haiwan, kerja pembaikan kandang, penyelenggaraan laluan pejalan kaki serta kerja-kerja landskap.

“Program ini kita laksanakan sempena sambutan Hari Alam Sekitar dan akan dibuat secara gotong-royong dengan melibatkan warga kerja Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh mengadakan Lawatan Kerja dan Sesi Pembentangan Ketua Menteri Melaka (Pemerbadanan) dan Zoo Melaka Sdn Bhd di Zoo Melaka, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Maslina Baki; Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) Jabatan Ketua Menteri Melaka, Datin Elya Juliana Abdul Wahab dan Pengarah Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid.

Ahmad Azlan berkata, tarikh pelaksanaan program berkenaan masih menunggu ketetapan Setiausaha Kerajaan Negeri dan dijangka diadakan pada hari bekerja.

“Kita tunggu tarikh ditetapkan dan selepas itu kita akan susun penglibatan warga kerja supaya semua aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post LEBIH 1,000 ANAK MELAKA DAPAT MANFAAT KURSUS KAHWIN PERCUMA