TOK RAUF SUBURKAN PROGRAM AGAMA DI TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

TANJUNG BIDARA 4 Oktober – Sokongan berterusan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terhadap pelbagai program keagamaan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara mendapat penghargaan masyarakat setempat, termasuk pengurusan masjid.

Pengerusi Masjid Al-Jawahir, Mohd Said Harun berkata, Ab Rauf yang juga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara sentiasa memberi perhatian terhadap program keagamaan yang dianjurkan masjid dan berusaha meluangkan masa untuk bersama jemaah.

Menurutnya, sokongan itu bukan sahaja diberikan selepas Ab Rauf dilantik sebagai Ketua Menteri, malah telah ditunjukkan sejak beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

“Kalau kita lihat, Tok Rauf dari segi program keagamaan memang sangat menyokong. Banyak program yang dianjurkan setiap masjid dan seboleh mungkin beliau akan bersama.

“Walaupun kita faham kesibukan beliau sebagai Ketua Menteri, jemaah tetap rasa seronok apabila dapat melihat beliau hadir dan meluangkan masa bersama masyarakat di DUN Tanjung Bidara,” katanya ketika ditemui pemberita.

Mohd Said berkata, Ab Rauf juga beberapa kali meluangkan masa di Masjid Al-Jawahir untuk menunaikan ibadah dan bersama rakyat dan itulah menjadi titik mula jawatankuasa masjid membuat permohonan untuk membaik pulih masjid itu.

“Alhamdulillah, hasil usaha dilakukan beliau, masjid yang sebelum ini banyak kebocoran dan pelbagai masalah lain kini semakin selesa dengan pelbagai penambahbaikan bukan sahaja bumbung, malah turut menerima karpet baharu, pendingin hawa, lampu dan lain-lain lagi,” katanya.

Menurutnya, sokongan berkenaan turut dapat dilihat menerusi kehadiran Ab Rauf pada majlis penyerahan Masjid Al-Jawahir selepas kerja baik pulih siap, selain menjadi antara jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat pertama selepas masjid berkenaan dibuka semula.

Untuk rekod, Masjid Al-Jawahir yang merupakan Masjid DUN Tanjung Bidara dibuka semula pada 1 Oktober 2026 selepas setahun melalui kerja baik pulih yang melibatkan peruntukan keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.4 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

417
Kongsi :
Previous post MESRA KERAJAAN TEMPATAN: 3,882 PETAK PARKIR PERCUMA DI JASIN