Tak mengaku rogol, lakukan amang seksual terhadap anak saudara

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

ALOR GAJAH 27 Julai – Peniaga sate dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, hari ini atas 25 pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, berusia 39 tahun dan masih beristeri bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik 25 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Afizi Othman.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan persetubuhan ke atas seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 15 tahun 11 bulan kira-kira jam 5 pagi di sebuah rumah di Kuala Sungai Baru dalam daerah Alor Gajah pada 16 Oktober 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan dua hingga 25, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa dan di alamat sama pada 2018 hingga 31 Oktober 2020.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh juga tidak mengaku bersalah mengikut Seksyen 292(a)Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya kerana memiliki gambar dan video lucah di dalam telefon bimbit jenis Samsung Galaxy A51.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal.

Dalam penghujahannya, beliau memohon jaminan tidak dibenarkan atas faktor keselamatan mangsa yang berada di bawah jagaan tertuduh, selain tindakan tidak berperikemanusiaan itu dilakukan sepanjang tempoh lebih dua tahun.

Tertuduh yang diwakili peguam Datuk Aravindhakshan M.N.V Pillai bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya berdepan tuduhan dan belum dibuktikan bersalah.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua kali sebulan dan passport diserahkan kepada mahkamah.

Beliau turut menetapkan tarikh 5 September depan sebagai sebutan semula kes.

Ahad lalu, media melaporkan pasangan suami isteri menjadikan anak saudara perempuan mereka sebagai hamba seks sejak tiga tahun lalu sebelum kedua-duanya diberkas polis.

Pasangan berusia 39 serta 37 tahun itu yang ditahan pada 18 dan 22 Julai lalu di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1078
Kongsi :
Previous post Maszlee cadang IPTS diberi pelepasan cukai dua tahun demi ‘survival’ ketika COVID-19
Next post Pandelela, Mun Yee gagal sumbang pingat melalui acara terjun
Ubah saiz-+=