
11.2 JUTA PELANCONG KE MELAKA SETAKAT OGOS, JANA EKONOMI RM11.32 BILION
BANDA HILIR 3 Oktober – Melaka merekodkan kehadiran lebih 11.2 juta pelancong sehingga Ogos 2026, dengan anggaran sumbangan sebanyak RM11.32 bilion kepada ekonomi negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian berkenaan menunjukkan ekosistem pelancongan negeri terus berkembang, khususnya menerusi pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM2.0).
“Melaka telah mencatat prestasi yang cukup membanggakan. Sehingga Ogos 2026, Melaka telah berjaya merekodkan kehadiran lebih 11.2 juta pelancong, dengan anggaran sumbangan sebanyak RM11.32 bilion kepada ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketujuh dari Melaka ke Batu Pahat, Johor, di Dataran Memorial Kemerdekaan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiusaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, jumlah berkenaan adalah hasil inisiatif serta pelbagai program pelancongan yang diadakan sepanjang tahun ini, selain turut dipacu agenda TMM2.0.
“Melaka akan terus memperkukuh sektor pelancongan dengan meneroka pelbagai produk dan tarikan baharu bagi memastikan sektor pelancongan terus memberi sumbangan kepada ekonomi negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

