MeSRa MAHASISWA SUNTIK SEMANGAT ANAK MELAKA KE IPT

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

SERI NEGERI 3 Oktober – Inisiatif Kerajaan Negeri di bawah gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Mahasiswa memberi suntikan semangat kepada anak Melaka yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT), selain membantu meringankan kos persediaan memasuki alam kampus.

Bagi Nur Fatinah Md Emran, 18, bantuan diterima menerusi Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) amat bermakna kerana dapat digunakan untuk menampung keperluan pembelajaran dan persediaan sebelum memulakan pengajian.

Anak jati Batu Berendam itu berkata, bantuan berkenaan sedikit sebanyak mengurangkan beban keluarga terutama dalam menyediakan kelengkapan pembelajaran serta keperluan lain sebelum mendaftar di IPT.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan TAPEM atas insentif untuk anak Melaka yang melanjutkan pelajaran. Saya sangat bersyukur menerima manfaat ini kerana ia dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga untuk persediaan memasuki IPT.

“Bantuan seperti ini juga memberi motivasi kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan membuktikan anak Melaka mampu berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya yang kini menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka kepada Melaka Hari Ini.

Nada sama disuarakan Nur Athilia Mohd Roslan, 18, yang menyifatkan bantuan berkenaan sebagai satu bentuk sokongan kepada anak Melaka untuk melangkah ke alam pengajian tinggi.

Menurutnya, bantuan itu bukan sahaja membantu menyediakan keperluan sebelum mendaftar di IPT, malah memberi semangat untuk mengejar cita-cita dan mencapai kejayaan dalam pelajaran.

“Saya sangat bersyukur menerima manfaat ini kerana ia dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga untuk persediaan memasuki IPT.

“Pada masa sama, bantuan ini menjadi motivasi untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan membuktikan anak Melaka mampu berjaya dalam bidang yang diceburi,” katanya.

Sementara itu, Iris Qistina Sharulizzuan, 18, berkata perhatian Kerajaan Negeri terhadap golongan mahasiswa menunjukkan kebajikan dan masa depan anak muda Melaka terus diberi keutamaan.

Katanya, bantuan berkenaan bukan sahaja memberi manfaat dari segi kewangan, malah menjadi suntikan semangat kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi dengan lebih yakin.

“Sebagai anak Melaka, saya amat menghargai bantuan yang diberikan kerana ia menunjukkan Kerajaan Negeri mengambil berat mengenai keperluan pelajar yang bakal melanjutkan pengajian.

“Kami benar-benar merasai manfaat MeSRa ini dan berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai anak Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post 11.2 JUTA PELANCONG KE MELAKA SETAKAT OGOS, JANA EKONOMI RM11.32 BILION