
HIMPUNAN 300 PENDEKAR, DUYONG BANGKITKAN KEDAULATAN SILAT
DUYONG 19 Julai – Lebih 300 pesilat daripada 13 persatuan silat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong berhimpun dengan penuh semangat perjuangan dan warisan sempena Temasya Silat @ HTC Apresiasi Pendekar Duyong 2025, malam tadi.
Buat julung kalinya, semua aliran silat yang sebelum ini berlatih secara bersendirian disatukan di bawah satu gelanggang, sebagai usaha memperkukuh warisan seni bela diri Melayu yang semakin dilupakan generasi kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, temasya itu menjadi wadah menghimpunkan kekuatan komuniti pesilat tempatan dalam usaha memartabatkan kembali kedaulatan silat sebagai lambang kekuatan bangsa.
“Persatuan yang berhimpun ini semua dari DUN Duyong. Mereka membawa pelbagai aliran, tetapi hari ini kita satukan. Kita raikan guru-guru tua dan setiap persatuan turut membuat persembahan khas.
“Silat ini bukan untuk bersaing, tetapi untuk membela diri. Kita mahu anak muda kembali kenal warisan ini dan menjadikannya sebagai satu jati diri,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Erne Hamsah dan wakil Guru-Guru Silat Duyong, Baharuddin Bacheik.
Menurut Mohd Noor Helmy, silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, bahkan mencerminkan kehalusan budaya Melayu yang merangkumi nilai rohani, fizikal, seni gerak, dan tatatertib tinggi.
“Ia mengajar pesilat menjadi insan berdisiplin, berakhlak dan setia pada bangsa dan negara.
“Pada program ini peserta mempersembahkan pelbagai aliran silat seperti Silat Cekak, Silat Lincah, Silat Gayong, Silat Sendeng dan banyak lagi. Setiap persembahan menyerlahkan keunikan dan teknik masing-masing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.