
HMA 2025: MUZIUM PENJARA MELAKA PALING POPULAR
AYER KEROH 1 Ogos – Konsep Evolusi Sistem Kepenjaraan yang dibawa Muzium Penjara Melaka pada pameran Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) Peringkat Kebangsaan 2025 membawa tuah apabila berjaya dinobatkan sebagai johan reruai paling popular.
Muzium Penjara Melaka dalam kenyataan memaklumkan, festival yang berlangsung selama enam hari sehingga 29 Julai lalu menghimpunkan sebanyak 24 reruai pameran terdiri daripada Muzium Negeri, Muzium Persekutuan dan Muzium Institusi dari dalam serta luar negara.
Kata kenyataan itu, tema pameran pada tahun ini adalah ‘Masa Depan Muzium Dalam Komuniti Yang Berubah Pantas’, di mana Muzium Penjara Melaka membawa tema Keselamatan Dan Peradaban Manusiawi: Evolusi Sistem Kepenjaraan.
“Festival kali ini yang diadakan di Muzium Padi, Kedah, membawa tuah kepada Muzium Penjara Melaka apabila terpilih dan dinobatkan sebagai johan reruai paling popular.
“Justeru, di pihak Muzium Penjara Melaka kami merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan yang terlibat termasuk pengunjung yang telah menyokong Muzium Penjara Melaka serta Muzium Penjara Malaysia sehingga membawa kemenangan ini.
“Kemenangan ini juga membuktikan keupayaan Muzium Penjara Malaysia sebagai antara institusi muzium yang relevan dan dekat di hati masyarakat,” kata kenyataan berkenaan.
Terdahulu, majlis penutup dan penyampaian hadiah telah disempurnakan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.