Hujan berterusan mangsa banjir di Terengganu terus meningkat, Perak kekal pagi ini

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Hujan berterusan selama dua hari menyebabkan jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat, manakala di Perak kekal setakat pagi ini.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Negeri memaklumkan sejumlah 1,431 orang berada di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 1,327 orang malam tadi.

Kuala Nerus masih menjadi daerah mencatatkan jumlah mangsa teramai iaitu 699 orang daripada 189 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS, termasuk di Dewan Serbaguna Tok Jembal, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Tunggal dan SK Bukit Nanas.

Di Kuala Terengganu pula, seramai 574 mangsa daripada 173 keluarga berlindung di empat PPS manakala di Setiu, dua PPS dibuka menempatkan 26 mangsa daripada dua keluarga.

Marang merupakan daerah terbaharu dilanda banjir, dengan satu PPS dibuka malam tadi yang menempatkan 132 mangsa daripada 32 keluarga.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (Sektor Pengurusan Sekolah), Azman Othman berkata 12 buah sekolah di negeri ini terpaksa ditutup, selepas dinaiki air manakala sembilan lagi ditutup untuk dijadikan PPS.

Sekolah ditutup akibat banjir termasuk SK Seri Budiman, SK Kubang Ikan, SK Pusat Kuala Ibai, SK Kedai Buluh, SK Losong, SK Kampung (Kg) Bukit Chendering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Sekolah Menengah Agama (SMA) Sheikh Abdul Malek, SK Bukit Bayas, SK Bukit Puteri, SMK Padang Kemunting dan SMK Intan Zaharah.

Sementara sekolah yang ditutup untuk dijadikan PPS pula ialah SK Chendering, SK Bukit Tunggal, SK Atas Tol, SK Bukit Nanas, SK Teluk Ketapang, SK Pasir Panjang, SK Gong Tok Nasek, SK Bukit Gasing dan SK Tok Jembal.

Justeru, beliau menasihatkan sekolah yang terjejas banjir dan PPS yang menempatkan ramai mangsa banjir supaya memohon cuti bencana.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir pada pagi ini kekal seperti malam tadi, dengan 75 orang daripada 22 keluarga berlindung di dua PPS di Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 18 orang daripada tiga keluarga, manakala PPS SK Alor Pongsu seramai 57 orang daripada 19 keluarga.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak memaklumkan di Kerian, laluan FT 147 Jalan Selama ditutup kepada semua kenderaan, selepas kawasan itu dinaiki air dan orang ramai diarah menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.

Di Batang Padang, laluan FT 1152 Felda Trolak Selatan dibuka satu lorong hanya kepada kenderaan ringan, berikutan pembaikan jalan utama perlu dilakukan segera susulan keadaan bahu jalan yang runtuh.

โ€œLaluan di FT 001 Jalan Ipoh-Tanjung Malim hanya dibuka satu lorong kepada semua kenderaan, kerana Pemasangan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dibuat di lokasi akibat tanah runtuh.

โ€œDi Hilir Perak, laluan di A129 Jalan Langkap-Air Hitam dipasang papan amaran sementara dan pengguna jalan raya diminta menggunakan jalan alternatif di laluan FT058,โ€ menurut kenyataan JKR.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

800
Kongsi :
Previous post Penduduk bersyukur tak perlu lagi lalu jalan jauh
Next post Melaka negeri kebajikan, fokus bajet untuk masyarakat
Ubah saiz-+=