Penduduk bersyukur tak perlu lagi lalu jalan jauh
KLEBANG 21 November – Pembinaan jambatan sementara yang menghubungkan Kampung Stulang Daeng, Bukit Rambai dan Pulau Gadong nyata menggembirakan 5,000 penduduk dan petani di kawasan itu.
Mana tidaknya, selepas hampir dua bulan ditutup susulan jambatan konkrit sedia ada runtuh, kini dengan adanya jambatan ‘bailey’ yang siap dibina dan dibuka bermula, hari ini, ia ibarat khabar gembira untuk semua.
Selain keadaan jalan yang lebih selamat, laluan itu juga dapat membantu masyarakat setempat mengakses lokasi dengan lebih mudah dan tidak perlu lagi menempuh laluan panjang dan sesak.
Seorang penduduk, Salizah Dolmat, 48 berkata, dia bersyukur dengan inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) yang berjaya menyiapkan jambatan alternatif itu untuk kegunaan orang ramai.
Katanya, selepas jambatan runtuh, dia terpaksa menggunakan laluan lebih jauh untuk ke tempat kerja di Ayer Keroh, selain terpaksa menempuh kesesakan.
“Alhamdulillah, ribuan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri yang mengambil tindakan pantas selepas terputus hubungan akibat insiden jambatan runtuh yang berlaku.
“Jalan ini merupakan laluan yang saya gunakan setiap hari dari Bukit Rambai dan mampu membantu menjimatkan perjalanan lebih kurang 15 minit berbanding terpaksa berdepan dengan kesesakan jalan raya di Tanjung Minyak,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, projek pembinaan jambatan ‘Bailey’ yang disiapkan dalam tempoh tiga hari bermula 14 November lalu disahkan selamat dan boleh dilalui bermula hari ini.
Pembukaan dan perasmian jambatan sementara itu telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Jambatan yang dibina itu merupakan kejayaan JKR Melaka yang bekerjasama dengan jurutera JKR daripada beberapa negeri lain, tanpa perlu memohon bantuan dan kepakaran daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Nada sama turut disuarakan penduduk Pulau Gadong, Chia Kim Tee, 73 yang menyifatkan laluan itu sebagai penghubung untuknya dan keluarga mendapatkan keperluan barangan dapur selain menjadi lokasi riadah.
“Setiap hari saya lalu jalan ini dan ini merupakan kawasan yang selamat buat keluarga terutama cucu untuk beriadah pada waktu petang.
“Kalau sebelum ini kita terpaksa pusing jauh sebab ikut laluan alternatif tapi selepas jambatan ini siap ia memudahkan kami yang menetap di kampung ini,” katanya.
Sementara itu, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Setulang Daeng, Hamzah Ibrahim, 5, berkata, pihaknya bersyukur setelah menerima khabar gembira itu yang memudahkan hubungan penduduk kampung.
“Selepas sebulan insiden jambatan runtuh berlaku, saya melihat ini merupakan tindakan segera telah dilaksanakan Kerajaan Negeri yang cakna dengan keluhan penduduk yang terputus hubungan.
“Alhamdulillah, keluhan penduduk berjaya diselesaikan kerana selepas runtuhan itu mereka terpaksa menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh berbanding laluan ini.
“Saya mewakili penduduk Setulang Daeng mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri termasuk JKR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang bekerja keras demi membantu menyelesaikan isu penduduk kampung di kawasan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.