Jambatan ‘Bailey’ Pulau Gadong-Stulang Daeng kini dibuka

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

KLEBANG 21 November – Jambatan sementara ‘Bailey Bridge’ menghubungkan Kampung Setulang Daeng, Bukit Rambai dan Pulau Gadong kini dibuka secara rasmi kepada penduduk dan orang ramai.

Jambatan sementara itu mula dibina pada 14 November lalu selepas jambatan asal di kawasan itu runtuh dalam kejadian 22 September lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tindakan pantas Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka telah membina jambatan ‘Bailey’ itu dalam tempoh tiga hari bermula dari 14 hingga 16 November lalu, sebelum ia disahkan selamat dan boleh dilalui bermula hari ini.

Ab Rauf turut memuji kejayaan JKR Melaka memasang jambatan itu dengan kerjasama jurutera JKR daripada beberapa negeri lain, tanpa perlu memohon bantuan dan kepakaran daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kebiasannya jambatan jenis ini selalu dipasang dengan kerjasama ATM dan ini merupakan satu kecekapan yang ditunjukkan JKR selepas tempoh tiga hari ia berjaya dilengkapkan dengan kadar tempoh kerja bermula dari 9 pagi hingga 12 tengah malam.

“Terima kasih kepada JKR Melaka yang menjalin kerjasama bersama JKR Temerloh, Pahang; Petaling Jaya, Selangor dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk membina sebuah ‘Bailey Bridge’ di kawasan ini.

“Tahniah juga diucapkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang telah memanjangkan usaha di bawah pentadbiran Japerun Klebang dan juga kepada Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Rais Yasin yang telah berusaha bersungguh-sungguh memastikan penduduk yang terjejas dapat kembali menjalankan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Pembukaan Jambatan ‘Bailey’ Kampung Setulang Daeng-Pulau Gadong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Turut hadir, Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Adun Klebang, Datuk Lim Ban Hong; dan Pengarah JKR Melaka, Datuk Ir Ismail Abd Rahman.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, jambatan ‘Bailey’ yang dibina itu adalah insiatif sementara dipasang dalam tempoh dua tahun hasil pinjaman aset daripada JKR terlibat.

Katanya, pemasangan jambatan itu merupakan inisiatif awal oleh Kerajaan Negeri dalam melancarkan kehidupan penduduk dan petani di kawasan itu sementara menunggu peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi membina sebuah jambatan baharu berstruktur kekal di kampung terbabit.

“Dalam tempoh ini Kerajaan Negeri akan memohon peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan agar dapat dibina sebuah lagi jambatan sekali gus sebagai persiapan untuk kita sekiranya menghadapi sebarang bencana pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1314
Kongsi :
Previous post Kembara Borneo 5,000km promosi TMM2024
Next post Penduduk bersyukur tak perlu lagi lalu jalan jauh
Ubah saiz-+=