MAIM PERJELAS ISU PENERIMA TULAR, BANTUAN SUDAH DISALUR SEJAK 2016

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Tular di media sosial berkaitan seorang wanita yang mendakwa tidak menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) adalah tidak tepat.

Timbalan Pengerusi MAIM Datuk Rahmad Mariman berkata, berdasarkan semakan rekod sistem i-Asnaf wanita berusia 40-an itu adalah penerima bantuan aktif MAIM sejak 2016, dengan tempoh penerimaan bantuan kini mencecah kira-kira 10 tahun.

Sehubungan itu Rahmad yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri menafikan maklumat berkenaan yang tular di media sosial.

“Berhubung hal ini saya nasihatkan kepada netizen jangan mudah percaya maklumat tular di media sosial, apa yang terbaik adalah kita siasat dulu, dapatkan penjelasan dan penerangan yang betul.

“Mengikut rekod individu berkenaan menerima bantuan makanan bulanan sebanyak RM300, bantuan Ramadan dan Syawal setiap tahun serta bantuan Aidiladha, selain bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 sebulan,” katanya.

Menurutnya, semakan terhadap latar belakang sosioekonomi mendapati wanita itu mempunyai empat anak, dengan tiga daripada mereka sudah berkahwin dan tinggal berasingan, manakala seorang lagi anak berusia 20 tahun masih bujang serta mempunyai pekerjaan.

“Suami pemohon pula berusia 48 tahun dan tidak dapat melakukan kerja berat kerana menghidap ‘slipped disc’ tahap empat serta mengalami gangguan mental dan kini menerima rawatan susulan di Hospital Besar Melaka,” katanya.

Mengulas isu tunggakan rumah yang turut dibangkitkan dalam video tular baru-baru ini, Rahmad berkata semakan rekod rasmi MAIM mendapati kediaman itu berstatus rumah sewa dengan kadar RM500 sebulan yang dibayar sendiri sejak 2020.

“Tiada rekod permohonan tunggakan rumah pernah dikemukakan oleh wanita berkenaan kepada MAIM seperti yang didakwa.

“MAIM juga mempunyai rekod beberapa bantuan kecemasan yang pernah diluluskan kepada keluarga ini termasuk bantuan membayar bil elektrik sebanyak RM200 pada 2019, bantuan yuran sekolah anak serta bantuan utiliti elektrik pada 2017.

“Pada 1 Oktober lalu, Pegawai Zakat Cawangan Melaka Tengah turut menziarahi rumah beliau untuk memahami keperluan sebenar, memandangkan tiada sebarang permohonan dibuat sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, MAIM sentiasa membuka pintu rundingan dan membantu masyarakat Islam di Melaka yang benar-benar memerlukan mengikut saluran permohonan yang sah.

“Setiap penyaluran bantuan dilakukan secara telus, saksama dan tertakluk kepada syarat serta garis panduan yang ditetapkan.

“Zakat ini amanah pembayar zakat dan perlu diagihkan kepada yang layak menerima, iaitu golongan asnaf, mengikut saluran yang betul serta mematuhi syarak.

“Justeru itu, saya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai, membuat spekulasi atau menularkan maklumat yang tidak tepat tanpa merujuk terlebih dahulu kepada pihak berkuasa agama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

560
Kongsi :
Previous post MICT MAMPU TERIMA 800 KAPAL PERSIARAN, 1.6 JUTA PENUMPANG SETAHUN
Next post PRN MELAKA: UMNO MELAKA MASIH TUNGGU SENARAI PENUH NAMA CALON