MICT MAMPU TERIMA 800 KAPAL PERSIARAN, 1.6 JUTA PENUMPANG SETAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 6 Oktober – Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) dijangka menjadi pintu masuk antarabangsa ke negeri ini menerusi laluan laut dengan kemampuan menampung sehingga 800 ketibaan kapal persiaran dan 1.6 juta penumpang setahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan projek terminal itu mempunyai potensi besar dalam memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan khususnya bagi pelayaran persiaran antarabangsa.

Katanya, kewujudan MICT itu akan membuka ruang kepada lebih banyak kapal persiaran dan pelancong antarabangsa untuk berkunjung ke negeri ini menerusi laluan laut.

“Apabila siapnya terminal ini kita akan membuka pintu masuk antarabangsa ke Melaka melalui jalan laut, sekali gus memberi ruang kepada lebih banyak ketibaan kapal persiaran ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Tapak Projek MICT di Melaka Gateway, Pulau Melaka di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengerusi Eksekutif KAJ Development (KAJD) Tan Sri Dr. Daing A.Malek A Rahaman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, berdasarkan perancangan yang dibentangkan oleh syarikat pelaksana projek itu akan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Tambahnya, pembangunan MICT yang membabitkan nilai pelaburan keseluruhan RM2 bilion itu akan memberi nilai tambah kepada ramai pihak terutama rakyat Melaka.

“Apa yang paling penting, kita mahukan terminal ini siap dan benar-benar berfungsi sebagai pemangkin kepada pelancongan maritim Melaka.

“Apabila siap nanti aktiviti ekonomi dapat dirancakkan lagi seterusnya memberi manfaat kepada negeri dan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post PEMBINAAN MICT KEMBALI RANCAK, DIJANGKA SIAP HUJUNG 2027
Next post MAIM PERJELAS ISU PENERIMA TULAR, BANTUAN SUDAH DISALUR SEJAK 2016