
PEMBINAAN MICT KEMBALI RANCAK, DIJANGKA SIAP HUJUNG 2027
BANDA HILIR 6 Oktober – Kemajuan projek pembinaan Terminal Kapal Pesiar Antarabangsa Melaka (MICT) di Melaka Gateway, Pulau Melaka, menunjukkan perkembangan positif dan dijangka siap sepenuhnya pada hujung 2027 nanti.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan perkembangan semasa itu juga MICT dijangka mampu memulakan operasi pada suku pertama 2028.
Katanya, beberapa isu teknikal terutama membabitkan kerja-kerja marin sebelum ini menyebabkan pelaksanaan projek berkenaan tertunda.
“Namun sekarang kerja-kerja pembinaan kembali rancak, kita menjangkakan jeti ini akan siap dibina pada hujung tahun 2027 dan akan beroperasi pada suku pertama tahun 2028.
“Kerja-kerja kelautan ini mempunyai pelbagai aspek teknikal yang perlu dilaksanakan secara teliti, sebab itu ia tertunda sekejap sebelum ini, tetapi sekarang alhamdulillah sudah kembali pada landasan, semuanya baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Tapak Projek MICT di Melaka Gateway, Pulau Melaka, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Mohd Yusof Abu Bakar dan Pengerusi Eksekutif KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) Tan Sri Dr. Daing A Malek A Rahaman serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut Ab Rauf berkata, apabila siap kelak MICT akan dilengkapi kemudahan ’embarkation’ dan ‘disembarkation’ bagi memudahkan proses penumpang menaiki serta turun dari kapal persiaran.
“Terminal itu turut menyediakan kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) bertaraf antarabangsa.
“Kemudahan ini penting bagi memastikan pelancong yang tiba menerusi kapal persiaran mendapat perkhidmatan yang lebih cepat dan memudahkan pergerakan mereka untuk melancong di Melaka serta Malaysia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


