Kembara Borneo 5,000km promosi TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 21 November – Kempen promosi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) diperhebat menerusi siri Kembara Borneo bermula 14 November lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, kembara sejauh 5,000 kilometer (km) itu membabitkan jelajah motosikal berkuasa tinggi di seluruh Sabah, Sarawak dan Brunei.

Menurut beliau, di setiap ‘checkpoint’ atau persinggahan, pihaknya bersama peserta telah mengedarkan risalah promosi dan pelekat TMM2024 di kawasan tumpuan ramai dalam merancakkan lagi kehadiran pelancong ke Negeri Melaka tahun depan.

“Kembara ini merupakan anjuran BMW Motorrad Club Malaysia menerusi program BMW MCM 5 Nation Borneo Expedition 2023 iaitu kembara selama 17 hari di seluruh Borneo.

“Ia melibatkan 18 motosikal berkuasa tinggi dari Semenanjung Malaysia, selain turut melibatkan peserta dari Sabah, Sarawak, Thailand, Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Jadi, saya telah berbincang bersama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh untuk mengikuti kembara ini dan memanfaatkannya untuk mempromosikan TMM2024 dan Negeri Melaka dengan kos perbelanjaan yang minimum,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Whatsapp Image 2023 11 21 At 11.21.56 0f66d47d
RAHMAD ketika mengikuti siri Kembara Borneo sejauh 5,000km untuk mempromosikan TMM2024.

Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek berkata, selain bertemu orang ramai, pihaknya juga turut bertemu dengan pihak Tourism Sarawak dan Sabah untuk membantu promosi TMM2024.

“Alhamdulillah, di setiap kawasan tumpuan, kita dapat menyantuni masyarakat dan pada masa sama mengambil kesempatan mengedar risalah serta pelekat TMM2024 dan rata-rata penduduk Borneo menyambut baik penganjuran TMM2024 tahun depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

562
Kongsi :
Previous post Polis Melaka buka kertas siasatan wanita Kemboja didakwa hina Melayu
Next post Jambatan ‘Bailey’ Pulau Gadong-Stulang Daeng kini dibuka
Ubah saiz-+=