Melaka negeri kebajikan, fokus bajet untuk masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 21 November – Peruntukan bajet yang memfokuskan semua golongan masyarakat tanpa ada yang terkecuali akan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri pada sesi pembentangan Bajet 2024 Negeri Melaka.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, beliau yakin kebajikan rakyat diberi tumpuan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh seperti pembentangan bajet yang dilakukan pada tahun 2023.

“Sudah semestinya harapan saya agar bajet ini banyak memihak kepada kebajikan malah kita juga sedia maklum Melaka ini adalah negeri kebajikan yang sentiasa membantu rakyat. Melaka juga satu-satunya negeri yang menyediakan bantuan susu dan lampin pakai buang.

“Setiap tahun peruntukan untuk kebajikan akan ada tersenarai malah kalau kita lihat dari segi peruntukan diberikan kerajaan kepada kebajikan, ia lebih jika dibanding dengan negeri lain,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu ditemui pemberita selepas melawat mangsa kebakaran rumah di Bukit Senjuang, di sini, semalam.

Menurut Kalsom, selain peruntukan merangkumi aspek kebajikan, beliau juga berharap bantuan kepada golongan asnaf dan juga ibu tunggal turut diberi perhatian dalam usaha menjadikan Melaka sifar miskin tegar.

Terdahulu Bajet 2023 bertemakan Teguh Bersama Makmur Melaka: Memulih Ekonomi, Memperingat Akujanji, Mensejahtera Rakyat diumumkan mantan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali diangkat sebagai bajet inklusif dengan berteraskan ‘no one is left behind’.

Malah menerusi Bajet 2023 juga turut diperkenalkan inisiatif baharu antaranya i-Sihat iaitu Kad Kesihatan bernilai RM200 yang diberikan kepada 5,394 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membabitkan implikasi kewangan RM1.08 juta.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post Hujan berterusan mangsa banjir di Terengganu terus meningkat, Perak kekal pagi ini
Next post Kampung Morten, Pantai Peringgit dipilih laksana program daya tahan komuniti
Ubah saiz-+=