Kampung Morten, Pantai Peringgit dipilih laksana program daya tahan komuniti
BANDA HILIR 21 November – Kampung Morten dan Pantai Peringgit dipilih bagi pelaksanaan Program Daya Tahan Komuniti (R4C) dalam memperkukuhkan daya tahan komuniti terhadap bencana alam khususnya melibatkan bencana banjir di negeri ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, pelaksanaan di bawah program Daya Tahan Iklim Bandar itu disokong dan mendapat tajaan Yayasan Z Zurich.
Katanya, Melaka adalah salah satu daripada 11 bandar di seluruh dunia dipilih untuk program yang ditaja sepenuhnya oleh yayasan itu.
“Pihak Kerajaan Negeri bersyukur Melaka dipilih dan ini cabaran besar untuk pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat.
“Kita pilih dua kampung tradisi ini kerana ia bersesuaian dengan kajian yang akan dilaksanakan yang mana ia dapat membantu komuniti supaya kekal berdaya tahan.
“Saya difahamkan Yayasan Z Zurich akan membantu kita membuat kajian bagaimana memastikan daya tahan di kampung ini yang sering terlibat dengan bencana banjir dapat diselesaikan, kajian ini akan bemula pada tahun 2024 sehingga 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Daya Tahan Komuniti (Resilience For Communities /R4C) Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengurus Kanan, Program dan Pengetahuan Resilient Cities Network, Nini Purwajati; Ketua Pegawai Eksekutif Negara/Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho dan Ketua Adaptasi Perubahan Iklim Yayasan Z Zurich, David Nash.
Katanya, segala peruntukan disediakan oleh Yayasan Z Zurich, manakala Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan bekerjasama menyediakan program bersama.
“Aspek ini tidak fokus banjir sahaja, kalau kita lihat apabila berlaku bencana banjir dan sebagainya akan ada komuniti terkesan, justeru itu program ini dilaksanakan untuk kita lihat masyarakat bangkit semula setelah terkesan.
“Bagaimanapun, setiap masalah itu memerlukan kajian dan kajian ini perlukan kos, terima kasih kepada pihak Zurich kerana sanggup membantu negeri Melaka.
“Kerajaan Negeri dan MBMB tidak keluarkan peruntukan, apa yang kami buat adalah menolong melancarkan program ini untuk memastikan ia berjaya dan memberi impak kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.