Hukuman menanti pemasang Jalur Gemilang terbalik

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH, 6 Ogos – Kerajaan negeri tidak sesekali berkompromi serta mahu tindakan tegas dikenakan terhadap premis atau pihak yang didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Ar Ismail Othman berkata, Jalur Gemilang adalah kebanggaan rakyat Malaysia dan ianya perlu dihormati oleh semua.

Beliau berkata, tindakan premis atau pihak tertentu yang cuba memperlekehkan Jalur Gemilang adalah perbuatan yang kurang ajar.

“Mereka ini perlu dihukum dan bagi mengelak ianya terjadi saya akan meminta kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penguatkuasa untuk melakukan pemantauan.

“Bagi saya mereka yang gantung atau pegang Jalur Gemilang terbalik ini kurang ajar dan tidak hormat serta tiada semangat kecintaan kepada negara,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya sebagai rakyat Malaysia kita perlu menghormati negara dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan sebetulnya.

“Jadi sebagai rakyat Malaysia kita perlu menghormati negara, kalau bukan kita yang berbuat demikian siapa lagi yang hendak hormat demi kesinambungan kehidupan yang lebih harmoni.

“Bagi saya dalam mengibarkan Jalur Gemilang ia secara tidak langsung boleh mewujudkan semangat perpaduan dan sikap saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, tiada sebarang laporan atau aduan diterima pihaknya buat ketika ini membabitkan insiden pemasangan Jalur Gemilang terbalik di Melaka.

Views:

298
Kongsi :
Previous post Melaka komited kekalkan negeri hijau bebas pandemik
Next post Jalur Gemilang ‘gergasi’ dinaikkan
Ubah saiz-+=