Hutan ‘dara’ Bukit Gapis puncak tertinggi di Melaka?
NYALAS 13 Okt. – Bukit Gapis, Nyalas, mungkin tidak begitu dikenali dalam kalangan kaki ‘hiking’, namun ia didakwa adalah puncak bukit tertinggi di Melaka yang belum diterokai sekali gus berpotensi menjadi produk pelancongan baharu negeri.
Bekas anggota komando tentera darat Md. Jamal Mohamad, 71, yang juga penduduk asal Kampung Gapis mendakwa, penemuan itu disedarinya dan beberapa rakan sebelum ini ketika membuat pendakian bagi mengetahui ketinggian bukit berkenaan yang menerima jolokan ‘Gunung Melaka’ kerana ketinggiannya yang mengatasi puncak bukit lain di negeri Hang Tuah ini.
Menurutnya ketika ini, hanya terdapat dua kawasan bukit di Melaka yang menjadi tumpuan pendaki menguji kecergasan iaitu Bukit Batu Lebah di Nyalas dengan ketinggian antara 500 hingga 600 meter dari paras laut manakala Bukit Beruang di Ayer Keroh setinggi 116.73 meter.
“Berdasarkan pendakian dan pengalaman selama 27 tahun bertugas di dalam hutan, kami dapati Bukit Gapis ini atau lebih dikenali sebagai ‘Gunung Melaka’ dalam kalangan rakan pendaki lain adalah puncak atau tanah tertinggi di Melaka.
“Ketinggian tidak rasmi yang direkodkan untuk Bukit Gapis ini adalah 512 meter iaitu lebih tinggi dari Bukit Batu Lebah dan Bukit Beruang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di sini baru-baru ini.
Pengalaman mendaki Bukit Gapis dirasai sendiri wartawan MHI bersama 26 lagi pendaki termasuk penduduk kampung diketuai Jamal dan juga rakannya Samsuri Jumaat, 49, serta ahli perniagaan Datuk Nur Sahar Osman.
Pendakian memakan masa kira-kira dua jam sebelum kami tiba di puncak bukit yang turut mempunyai bongkah batu penanda sempadan negeri antara Melaka dan Negeri Sembilan terukir 1901 yang didakwa diletakkan British ketika era penjajahannya.
Mengulas lanjut, Md Jamal berkata, Bukit Gapis juga mempunyai nilai sejarah tersendiri yang menjadi tempat perlindungan kaum wanita pada zaman penjajahan Jepun sekitar 1940-an selain air sungainya yang menjadi sumber utama kepada penduduk ketika itu.
“Sebab itu, kita mencadangkan kerajaan membangunkan semula Bukit Gapis atau ‘Gunung Melaka’ ini sebagai kawasan eco-pelancongan serba lengkap untuk menarik lebih ramai pelancong ke daerah Jasin.
“Ia secara tidak langsung juga dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat yang berniaga secara kecil-kecilan di kampung apabila tempat ini semakin ramai pengunjung,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Datin Sapiah Haron ketika dihubungi MHI berkata, MPJ sudah mempunyai perancangan untuk membangunkan Bukit Gapis sebagai pusat pelancongan baharu di Melaka.
“Kita difahamkan, Bukit Gapis ini puncaknya dikatakan lebih tinggi daripada Bukit Batu Lebah namun kita masih menunggu pengesahan lanjut daripada Jabatan Hutan.
“Diperingkat MPJ, kita telah menghantar kertas kerja untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi mewujudkan kawasan pelancongan baharu di Bukit Gapis ini,” katanya.