‘Jangan sampai tragedi letupan Beirut berulang di Tanjung Kling’

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Okt. – “Jangan sampai tragedi letupan yang pernah berlaku di Beirut sebelum ini terjadi di Tanjung Kling”.

Itu kerisauan seorang penduduk Kampung Pengkalan Perigi Haniff Sulaiman, 57, mengenai pembongkaran tapak haram yang menempatkan beratus-ratus tong mengandungi sisa toksik dan bahan berbahaya di kawasan itu baru-baru ini.

Menurutnya, disebabkan penemuan tersebut, Tanjung Kling kini boleh diibaratkan seperti bom jangka yang menunggu masa untuk memusnahkan segala-galanya, sekiranya masalah itu tidak diselesaikan segera.

“Kita tengok apa yang berlaku di Beirut. Memang besar kesannya. Jadi, kita sebagai penduduk memang risaulah bila tahu kawasan ini menjadi tempat penyimpanan bahan kimia yang berbahaya.

HANIFF

“Sepanjang 32 tahun saya tinggal di sini, inilah kali pertama kejadian seperti ini berlaku. Saya memang takut dan risau tambahan, lagi saya tinggal bersama keluarga dan di rumah ini ada pula ibu mertua yang sakit.

“Jadi saya minta pihak berwajib lakukanlah sesuatu dengan segera dan pada masa sama saya juga berharap pihak yang bertanggungjawab melakukan kesalahan ini diambil tindakan sewajarnya agar ia tidak berlaku lagi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di rumahnya.

Hal sama turut diakui seorang lagi penduduk Naimah Abd Jalil, 57, yang tidak pernah menyangka bau kurang enak yang dihidu adiknya yang menetap di Putrajaya dan pulang ke kampung baru-baru ini sebenarnya mengandungi sisa toksik yang mengundang bahaya.

Menurutnya, selama ini dia menyangka gudang lama yang terletak di hadapan rumahnya itu sudah tidak lagi beroperasi sehinggalah jentera bomba dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) datang ke lokasi kejadian, minggu lalu.

“Masa mula-mula ingat Bomba datang untuk buat latihan. Tetapi bila tengok JAS, polis pun ada, saya dah rasa lain. Bila polis beritahu ada bahan kimia memang terkejutlah sebab kita yang paling dekat dengan kawasan itu.

NAIMAH

“Sebelum ini memang kawasan itu menjadi stor tempat simpan barang. Dulu pernah jadi stor simpan besi, lepas itu dengar kata tempat simpan barang syarikat minyak.

“Jadi, dah lama selepas itu saya ingat tempat itu sudah kosong, memang tak jangkalah bila tengok gambar ada beratus-ratus tong bahan berbahaya dalam tu,” ujarnya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Pengkalan Perigi Azman Mamat yang ditemui di hadapan gudang berkenaan meminta proses pembersihan dan pemindahan tong-tong sisa toksik itu dapat disegerakan pihak berwajib.

Menurutnya, ramai penduduk mengadu kepadanya mengenai kerisauan mereka sekiranya kawasan tempat itu dibiarkan terlalu lama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.

“Selama ini kami duduk di sini aman, tenang dan memang tak tahu apa-apa. Jadi, bila berlaku perkara seperti ini memang terperanjatlah.

“Saya harap pihak berkuasa dapat memberkas pelaku dengan segera dan melakukan pembersihan untuk keselesaan semua penduduk kampung di kawasan ini,” katanya.

Views:

414
Kongsi :
Previous post Perairan Tanjung Tuan bertukar hitam
Next post Hutan ‘dara’ Bukit Gapis puncak tertinggi di Melaka?
Ubah saiz-+=