Segerakan proses pengosongan, pembersihan sisa toksik

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PANTAI KUNDOR 13 Okt. – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka dan agensi berkaitan diminta agar mengambil tindakan segera mengosong serta membersihkan tapak haram yang menyimpan beratus tong sisa toksik dan bahan berbahaya di Kampung Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan menegaskan perkara itu perlu diberi perhatian segera bagi mengelakkan berlakunya insiden tidak diingini yang dikhuatiri berlaku di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini tong-tong yang mengandungi bahan mudah terbakar itu masih berada di dalam kawasan berkenaan dan itu menimbulkan rasa kurang senang penduduk sekitar.

“Kalau boleh saya mahu dalam masa terdekat perkara ini sudah diselesaikan. Saya faham tong-tong itu menjadi bahan bukti oleh pihak JAS bagi tujuan pendakwaan.

“Tetapi kita tidak boleh membiarkan terlalu lama kerana ia akan membahayakan penduduk setempat. Ada kira-kira 100 rumah penduduk di sini dan rata-rata meluahkan kerisauan apabila tong-tong ini masih ada di kawasan itu.

“Lagi pun, memandangkan berita ini sudah tersebar dalam berita, kita khuatir kalau ada ‘tangan-tangan nakal’ yang cuba melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya seperti membakar dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di hadapan tapak haram berkenaan.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Nor Azman berkata, pihaknya difahamkan kejadian tersebut terjadi disebabkan sikap tidak bertanggungjawab kontraktor yang dilantik sebuah syarikat minyak untuk pelupusan minyak.

Namun, menurutnya, kontraktor itu bukan sahaja mengambil jalan mudah, bahkan turut memperjudikan nasib penduduk sekitar yang langsung tidak tahu menahu mengenai penyimpanan itu tong-tong itu sejak bertahun lamanya.

“Saya sebagai wakil rakyat memang memandang serius dan cukup marah apabila kejadian seperti ini berlaku. Saya difahamkan syarikat minyak tersebut juga sedang menyiasat bagaimana perkara itu boleh berlaku.

“Saya amat berharap perkara seperti ini tidak lagi berlaku lagi di masa akan datang dan pada masa sama turut berharap si pelaku dihadapkan ke muka pengadilan,” tegasnya.

Views:

517
Kongsi :
Previous post Hutan ‘dara’ Bukit Gapis puncak tertinggi di Melaka?
Next post Hotel Melaka gusar tidak terima tempahan baharu dan pembatalan saat akhir
Ubah saiz-+=