Hotel Melaka gusar tidak terima tempahan baharu dan pembatalan saat akhir

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 13 Okt – Pengusaha hotel bajet di Melaka mengeluh berdepan pembatalan saat akhir dan ketiadaan tempahan baharu pada hujung minggu selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala lumpur dan Putrajaya semalam.

Jelas Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBha) Melaka Sazali Sabri, situasi itu dilihat mengancam industri perhotelan negeri yang baru sahaja kembali bernafas, tatkala pintu masuk antarabangsa ditutup akibat penularan wabak COVID-19 sejak Mac.

“Sejak pintu masuk antarabangsa ditutup pada Mac, memang kita terpaksa mengharapkan kekuatan dari pelancong domestik.

“Dan berdasarkan data diterima, pelancong domestik yang paling ramai ke Melaka adalah dari Selangor diikuti Kuala Lumpur, Johor, Perak dan beberapa lagi negeri lain.

“Namun, susulan pengumuman PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, jumlah tempahan yang diterima amat tidak memberangsang.

“Kerana pada ketika ini (antara Isnin hingga Rabu) kita sepatutnya sudah menerima tempahan untuk hujung minggu, namun tiada dan dianggarkan sudah 40 peratus pembatalan bilik telah diterima,” katanya ketika dihubungi.

Jika PKPB terus diumumkan di negeri-negeri lain, pihaknya turut menjangkakan pengecilan operasi yang membabitkan pembuangan pekerja secara berperingkat seperti yang berlaku pada Mei lalu.

“Kita sekarang berada dalam situasi yang sukar, jika ia berterusan (PKPB di kawasan lain), mungkin kita akan kembali kepada ‘trend’ pada Mei.

“Iaitu tiada lagi pengambilan pekerja baharu, pembuangan pekerja, mungkin itu yang akan berlaku bila pendapatan dah tiada, sukar nak cakap,” katanya.

Views:

545
Kongsi :
Previous post Segerakan proses pengosongan, pembersihan sisa toksik
Next post Anwar tidak kemukakan senarai MP yang menyokongnya – Agong
Ubah saiz-+=