Ikan banjir beri pendapatan sampingan

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat
NOR Azmi memasang jaring di kawasan dinaiki air di Kampung Bangsal Atap, Foto Din Ahmad

AYER LIMAU 15 Julai – Seorang pengusaha santan bijak memanfaatkan banjir di Kampung Bangsal Atap, Lubok Cina di sini untuk memperoleh pendapatan sampingan dengan menangkap ikan.

Banjir yang melanda Lubok Cina sejak malam semalam, membawa rezeki tambahan untuk peniaga terbabit memasang jaring menangkap pelbagai jenis ikan.

Nor Azmi Abdul Kahar, 42, bijak menggunakan kesempatan air yang naik setinggi kira-kira 0.6 meter di Kampung Bangsal Atap, Lubok Cina untuk memerangkap ikan keli, haruan, baung, sebarau, puyu dan lampam sebagai rezeki tambahan.

Sejak jam 7 pagi beliau sudah meredah air untuk memasang jaring sepanjang kira-kira lapan meter di beberapa lokasi yang dijangka menjadi tempat ikan bermain, terutama berhampiran tebing Sungai Rembau.

“Setiap kali banjir, saya mengambil peluang memasang jaring untuk memerangkap pelbagai jenis ikan air tawar yang kalau dipasang jaring dalam sungai, agak sukar untuk menangkapnya.

“Bagaimapun, apabila saya memasang jaring di kawasan banjir, alhamdulillah lebih mudah mengena ikan kerana air cetek dan ikan suka bermain di celah pokok kecil yang tenggelam,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan semalam.

Nor Azmi berkata, bagi memastikan keselamatan ketika berjalan dalam air sedalam 0.6 meter, beliau memakai kasut getah kerana selain kayu tajam, kawasan dilanda banjir juga dipenuhi sampah yang ada antaranya tajam dan berbahaya.

Katanya, selepas membiarkan jaring di dalam air selama tiga jam, beliau menarik naik jaring berkenaan dan bersyukur kerana dipenuhi pelbagai jenis ikan.

“Pagi ini saya mendapat lapan kilogram ikan yang saya jual pada harga murah pada musim banjir seperti ini sebelum saya memasangnya semula untuk dibiarkan hingga petang,” katanya.

Nor Azmi berkata, dengan menawarkan harga antara RM5 hingga RM10 sekilogram, beliau sudah mampu tersenyum apabila titik peluhnya itu memberikan pulangan yang berbaloi.
Katanya, ikan baung menerima permintaan paling tinggi kerana ia sukar diperoleh berbanding haruan, keli dan seumpamanya dan setakat tengah hari, beliau sudah memperoleh empat kilogram baung.

Views:

454
Kongsi :
Previous post Bau wangian gaharu boleh tenangkan jiwa
Next post ADUN Slim meninggal dunia
Ubah saiz-+=