Sorting by

×

IKON GIGI MELAKA PERKASA KESEDARAN KESIHATAN MULUT

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DUYONG 19 Julai – Peranan dan jasa 38 Ikon Gigi Melaka dalam mempromosi dan memperkasa kesedaran kesihatan pergigian di negeri ini dihargai apabila kesemua mereka diraikan pada Sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Melaka 2025, hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, kesemua mereka merupakan sukarelawan dalam kalangan masyarakat yang dilantik di seluruh pelusuk negeri ini dan bertindak sebagai ejen yang membantu dalam meningkatkan taraf kesihatan mulut rakyat Melaka.

“Ikon Gigi ini dilantik untuk menyampaikan maklumat kesihatan pergigian kepada masyarakat setempat di bawah bimbingan anggota pergigian yang bertindak sebagai fasilitator.

“Kewujudan ikon gigi yang telah wujud sejak 2016 di negeri ini adalah untuk memperkasa kesedaran masyarakat dalam mengambil tindakan dan meningkatkan taraf kesihatan mulut menerusi pelbagai usaha yang telah dan sedang dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian Peringkat Negeri Melaka 2025 Sempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Taman Bandaraya Bukit Serindit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, aspek kesihatan pergigian terbukti penting dan mempengaruhi kualiti hidup serta kesihatan rakyat secara holistik.

“Terdapat pelbagai bukti kukuh dan kuat mengenai pertalian antara penyakit pergigian dengan penyakit tidak berjangkit.

“Tema Minggu Promosi Kesihatan Pergigian (MPKP) yang dipilih pada tahun ini adalah ‘Tiada Kesihatan Tanpa Kesihatan Mulut’, di mana ia turut memberi penekanan pentingnya kesihatan pergigian dalam komponen mencapai liputan kesihatan sejagat menjelang tahun 2030,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

669
Kongsi :
Previous post KESELAMATAN PELANCONG JADI KEUTAMAAN – MATTA MELAKA
Next post HIMPUNAN 300 PENDEKAR, DUYONG BANGKITKAN KEDAULATAN SILAT