IMAF2023: Perkasa institusi masjid, zakat dan wakaf

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BUKIT PALAH 26 Oktober – Masjid, zakat dan wakaf menjadi elemen yang amat penting dalam memastikan pembangunan insan, masyarakat, daulah serta ummah berjalan lancar.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penganjuran program ilmiah seperti Seminar Antarabangsa Masjid Zakat Dan Wakaf 2023 (IMAF2023) mampu memperkasakan lagi ketiga-tiga elemen berkenaan yang saling berkaitan.

Rahmad berkata, peranan ketiga-tiga elemen berkenaan perlu dilihat secara syumul dan bersepadu khususnya dalam hubungan langsung atau tidak langsung dengan pembangunan insan, masyarakat, daulah serta ummah.

Menurutnya, program itu juga amat penting dalam memperkasakan peranan masjid sebagai pusat kehidupan masyarakat.

“Institusi masjid mampu meningkatkan kefahaman dan penghayatan agama melalui program pendidikan, mewujudkan sistem pungutan selain pengagihan zakat, mengendali urusan wakaf serta membantu masyarakat setempat dalam hal-hal kebajikan.

“Berikutan itu kesepaduan fungsi antara masjid, zakat dan wakaf menjadi titik penting ke arah mewujudkan jalinan hubungan dan kerjasama mantap antara ketiga-tiga institusi tersebut,” katanya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap merasmikan IMAF2023 kali ke-9, di Auditorium Masjid Al-Azim yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Islam Selangor (UIS) Dr. Abdul Razif Zaini.

Hadir sama, Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Muhammad Ikram Ibrahim serta Pengarah IMAF2023, Dr. Sahlawati Abu Bakar.

Program ilmiah bertemakan ‘Cabaran Dan Solusi Institut Masjid, Wakaf  Dan Zakat Dalam Pengimarahan Masjid’ itu dianjurkan oleh Masjid Al-Azhar UIS dan dijayakan dengan kerjasama MAIM, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Pusat Zakat dan Wakaf UIS, IRCIEF serta KUISCELL.

Katanya, seminar dianjurkan menjadi medan perbahasan, pembentangan, perkongsian ilmu berkaitan, masjid, zakat dan wakaf sama ada daripada segi teori mahupun praktikal.

“Dapatan kajian tersebut sekiranya boleh dikongsi dengan pihak kami agar penambahbaikan boleh dilaksanakan dalam isu-isu berkaitan masjid, zakat dan wakaf di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1057
Kongsi :
Previous post MPHTJ komited siapkan 70 projek untuk rakyat
Next post Perluas Kem Anak Malaysia ke IPT
Ubah saiz-+=