Indeks jenayah Melaka rekodkan penurunan

Masa Membaca:2 Minit, 32 Saat

AYER KEROH 19 Okt. – Statistik indeks jenayah di Melaka bagi tempoh Januari hingga September menunjukkan penurunan sebanyak 29.1 peratus atau 522 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Mat Kasim Karim berkata, kadar indeks jenayah di kontinjen Melaka yang direkodkan pada tahun ini sebanyak 1,273 berbanding 1,795 tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, selain tindakan pencegahan jenayah yang berkesan penurunan indeks jenayah juga turut dibantu dengan penugasan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac lalu.

SEKATAN jalan raya yang diadakan sepanjang PKP yang bermula pada 18 Mac lalu menyumbang kepada penurunan indeks jenayah Melaka. (Gambar Hiasan)

“Sepanjang tempoh ini penjenayah tidak mempunyai peluang untuk melakukan jenayah terutamanya apabila ada sekatan jalan raya dan ke atas individu, premis dan rondaan oleh polis.

“Dari segi statistik dalam tempoh ini kebanyakan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menurun sekali gus indeks jenayah kontinjen Melaka turut menurun iaitu membabitkan samun berkawan tanpa senjata sebanyak 49.5 peratus, samun tanpa senjata api (28.6 peratus), mendatangkan cedera (22.2 peratus) serta jenayah harta benda dengan 30.4 peratus,” katanya.

Menurut beliau, walaupun kes jenayah lain di daerah merekodkan penurunan tetapi statistik kes rogol menunjukkan peningkatan yang sebanyak 152.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Mengikut statistik keseluruhan bagi Melaka pada tahun lalu antara Januari hingga September jenayah kekerasan rogol hanya merekodkan 17 kes tetapi pada 2020 meningkat kepada 43 kes.

“Kes rogol bawah umur merekodkan kira-kira 60 peratus dan apa yang dikatakan bawah umur adalah kes membabitkan remaja lelaki atau perempuan berusia 16 tahun ke bawah walaupun ada ianya berlaku suka sama suka (kerelaan) tetap dianggap bawah umur,” katanya.

Jelas Mat Kasim, walaupun pihaknya berdepan dengan sedikit cabaran dalam berhadapan dengan jenayah perjudian judi dalam talian membabitkan penggunaan teknologi bagaimanapun ia berada dalam keadaan terkawal hasl kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mengulas lanjut, beliau berkata, statistik jenayah komersial dari Januari hingga 15 September 2020 menunjukkan peningkatan dengan merekodkan 852 kes membabitkan nilai kerugian RM23.4 juta berbanding 636 kes dengan nilai kerugian RM18.5 juta tahun sebelumnya.

“Pecahan paling banyak membabitkan kes tipu iaitu scammer dengan 816 kes dan nilai kerugian RM22.6 juta berbanding 636 kes dengna kerugian RM15 juta pada 2019.

“Penjenayah dilihat menggunakan kaedah untuk mempengaruhi mangsa atau individu mempunyai wang yang banyak seperti pesara atau ibu tunggal dengan lakonan mengatakan mereka terbabit dengan aktiviti tertentu seperti wang tidak selamat atau terbabit dengan jenayah,” katanya.

Tambah Mat Kasim, beliau ingin menyeru kepada semua agar lebih berhati-hati dan perlu ingat pihak polis tidak sesekali memberi arahan atau melakukan tindakan melalui panggilan telefon semuanya termasuk merakam percakapan dilakukan di balai polis tiada transaksi di telefon atau bank.

“Sekiranya masyarakat meragui tentang sesuatu perkara, dinasihatkan agar tidak panik malah boleh berhubung dengan polis untuk mendapatkan fakta sebenar.

“Selagi transaksi tidak berlaku wang anda selamat sekiranya sudah berpindah milik ke akaun lain sukar untuk polis melakukan siasatan memandangkan mereka menggunakan akaun palsu serta lokasinya sukar dikesan,” katanya.

Views:

977
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka catat 16 kes baharu, Kluster Bukit direkodkan
Next post Hikmah di sebalik pandemik COVID-19
Ubah saiz-+=