Industri EV beri impak kepada institusi TVET

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

GADEK 20 Oktober – Kesungguhan Kerajaan Negeri memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah selaras dengan perancangan untuk menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perindustrian berteknologi tinggi di rantau ini.

Berikutan itu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menyarankan agar syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) EP Manufacturing Berhad (EPMB) beroperasi di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, mewujudkan hubungan strategik bersama institusi TVET di negeri ini.

Katanya, kerjasama berkenaan adalah sebagai persediaan untuk pihak EPMB mendapatkan bekalan tenaga kerja mahir dan separa mahir, selain melaksanakan kerjasama dalam bidang Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

“Apa yang pasti semua industri memerlukan sumber manusia yang baik. Melaka mempunyai 23 institusi TVET termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang berupaya membekalkan tenaga kerja mahir dan separa mahir.

“Fasiliti automotif seperti ini juga bakal menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada graduan selepas tamat pengajian di institusi TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Kilang Kenderaan Baharu Milik EMPB di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerk Chee Yee; Pengerusi Eksekutif Kumpulan EPMB, Hamidon Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed; Pengarah Eksekutif Kanan Advokasi Polisi Pelaburan MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Pengarah MIDA Melaka, Jaibalan Harirajan.

Ab Rauf berkata, menerusi komitmen yang tinggi dan kualiti kerja yang mantap antara pihak EPMB serta rakan-rakan usaha sama seperti Beijing Automotive Group Company Limited atau B.A.I.C serta Great Wall Motors atau GWM, akan mewujudkan satu wajah baharu dalam landskap pembangunan automotif di Negeri Melaka.

“Jadi, saya sarankan EPMB dapat mewujudkan kerjasama strategik dengan semua institusi TVET di Melaka agar penyelidikan dan pembangunan (R&D) dapat terus diperkasakan antara kedua belah pihak,

“Seperti baru-baru ini, Kerajaan Negeri Melaka melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka dengan kerjasama UTeM telah melancarkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Negeri Melaka atau dikenali RICE Melaka@UTeM.

“Saya percaya dengan penubuhan RICE Melaka ini menjadikan Melaka sebagai negeri pertama yang mewujudkan pusat seumpamanya, sekali gus mencapai objektif Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2025 (PSMJ2035), Smart Melaka Blueprint 2035 dan Pelan Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

888
Kongsi :
Previous post Melaka pelopor industri automotif elektrik pertama Malaysia
Next post Mangsa kedua lemas di Kem Terendak ‘pergi’ jua
Ubah saiz-+=