Sorting by

×

Melaka pelopor industri automotif elektrik pertama Malaysia

Masa Membaca:2 Minit, 29 Saat

GADEK 20 Oktober – Pembangunan fasiliti automotif dengan nilai pelaburan RM100 juta bagi pembuatan dan pemasangan kereta elektrik di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, menjadikan Melaka sebagai negeri peneraju dalam industri berteknologi itu di Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kilang yang bakal dibina itu adalah simbolik kebanggaan bagi Negeri Melaka yang menjadi pelopor dalam industri pembuatan kenderaan elektrik selain menjadi pemangkin dalam menarik lebih banyak pelaburan baharu.

Menurutnya, pembangunan fasiliti automotif di tapak tanah seluas 17 hektar dengan capaian keluasan 353,000 kaki persegi mampu mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan mahir dan separa mahir.

Katanya, apabila siap kelak kilang kenderaan baharu milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) akan mengeluarkan dan memasang kenderaan empat roda jimat tenaga (EEV), kenderaan penumpang elektrik (EV), serta kenderaan komersial elektrik.

Gembira dengan perkembangan itu Ab Rauf berkata, fasiliti automotif bakal memulakan operasi pada suku keempat 2024 itu bukan sahaja memberi makna besar kepada EPMB, malah menjadi indikator cukup bermakna kepada Kerajaan Negeri Melaka yang amat komited untuk membangunkan projek pelaburan berimpak dan berteknologi tinggi.

“Pembangunan fasiliti automotif ini akan disiapkan secara empat fasa dan dijangka mampu mengeluarkan sehingga 30,000 unit kenderaan setiap tahun apabila siap sepenuhnya.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka, saya amat bangga dan berterima kasih kepada EPMB kerana bukan sahaja berjaya memperoleh kelulusan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), malah telah memilih Melaka untuk membangunkan fasiliti ini.

“Hal ini sejajar dengan hala tuju Kerajaan Negeri Melaka di bawah pentadbiran saya yang sentiasa terbuka dalam menarik kemasukan lebih banyak pelaburan baharu ke melalui dasar ‘mesra pelabur dan mesra perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Kilang Kenderaan Baharu Milik EMPB di Kawasan Perindustrian Hicom Pegoh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, VP Shanmugam; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Kerk Chee Yee; Pengerusi Eksekutif Kumpulan EPMB, Hamidon Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed; Pengarah Eksekutif Kanan Advokasi Polisi Pelaburan MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Pengarah MIDA Melaka, Jaibalan Harirajan.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kesediaan EPMB bertapak di Taman Perindustrian Melaka Hicom Pegoh, juga membuka lembaran baharu, seterusnya membantu memacu pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka pada masa hadapan.

“Semua ini adalah petanda yang baik, saya yakin fasiliti automotif terbaharu ini bakal membawa banyak manfaat kepada ekonomi tempatan Negeri Melaka dan rakyat secara keseluruhannya seperti peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan sebagainya.

“Ini juga membuka potensi besar pelaburan baharu untuk masuk ke Melaka pada masa akan datang. Terima kasih kepada EMPB kerana memilih Melaka sebagai pelopor dalam pembuatan kenderaan elektrik ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1455
Kongsi :
Previous post Melaka jadi tumpuan dunia tahun 2025
Next post Industri EV beri impak kepada institusi TVET
Ubah saiz-+=