Sorting by

×

Melaka jadi tumpuan dunia tahun 2025

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 20 Oktober – Sejarah tercipta apabila Melaka dipilih menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day (WTD) tahun 2025.

Ia selepas Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UNWTO) sepakat memilih Malaysia menjadi lokasi penganjuran tahun 2025 di di Samarkand, Uzbekistan, sebelum Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) memilih Melaka sebagai tuan rumah.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pemilihan Melaka sebagai tuan rumah merupakan satu pengiktirafan besar memandangkan negeri ini bakal menjadi tumpuan dunia.

Katanya lagi, ia sekali gus akan menjadi kesinambungan kejayaan kepada Negeri Melaka setelah menjayakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Mewakili Kerajaan Negeri Melaka, saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UNWTO dan ketua-ketua negara dari 159 ahli UNWTO yang mengiktiraf Malaysia sebagai salah satu destinasi pelancongan utama dunia.

“Seterusnya, setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada MOTAC yang memilih Melaka mewakili Malaysia sebagai tuan rumah WTD 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

WTD dianjurkan pada tanggal 27 September setiap tahun dan bagi tahun 2025, ia akan bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’.

Abdul Razak berkata, penglibatan negeri Melaka pada WTD 2025 secara tidak langsung akan turut memainkan peranan yang besar dalam menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari menyifatkan pemilihan Melaka sebagai hos WTD 2025 sebagai satu penghargaan dan cabaran untuk Kerajaan Negeri dan penjawat awam Negeri Melaka.

Katanya, WTD 2025 yang menjadi kesinambungan TMM2024 itu diharap dapat menonjolkan komitmen tinggi Kerajaan Negeri Melaka sekali gus membanggakan Malaysia.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1519
Kongsi :
Previous post Harga ayam di Melaka naik 70 sen tidak benar
Next post Melaka pelopor industri automotif elektrik pertama Malaysia
Ubah saiz-+=