Infak pakaian

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PANTAI KUNDOR 26 Mei – Ratusan pasang pakaian terpakai dan berkeadaan baik tersedia untuk diinfakkan kepada anggota komuniti yang memerlukan di kawasan ini.

Mereka diminta mengambilnya sekadar untuk keperluan sendiri dan tidak membazir supaya setiap pasang pakaian itu mampu dimanfaatkan untuk mereka yang benar-benar  memerlukannya.

Pengerusi Persatuan Kemanusiaan Tangga Batu (PeKeTB), Tanjung Kling Rahiman Abu Hassan berkata, program mengumpulkan pakaian terpakai daripada anggota komuniti itu dimulakan kelmarin di rumahnya di Kampung Bukit Darat, di sini.

RAHIMAN.- Foto DIN AHMAD

“Sambutan daripada anggota masyarakat yang menginfakkan pakaian amat baik hingga kami seolah-olah tidak menang tangan menyusun pakaian untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukannya.

“Selain anggota komuniti yang terkesan dengan pandemik COVID-19 seperti hilang pekerjaan dan mereka yang diberi gaji setengah bulan, kami juga berhasrat menyumbangkan pakaian itu kepada mangsa banjir baru-baru ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Dia berkata, pandemik berkenaan menyebabkan ada anggota masyarakat, terutama yang berpendapatan harian bukan setakat menghadapi masalah untuk mendapatkan bahan makanan, malah pakaian.

Sementara itu, penerima pakaian, Rosilawati Mohamad, 39, berkata dia bersyukur dan berterima kasih apabila diberi peluang mengambil pakaian untuknya dan enam anak berusia antara lima hingga 17 tahun.

“Alhamdulillah, ada baju kurung, kemeja T, pakaian sekolah dan seumpamanya yang semuanya sesuai dengan saiz badan saya dan anak.

“Saya ambil cukup untuk keluarga dan tidak menggunakan peluang itu untuk mengambil terlalu banyak pakaian
kerana orang lain juga memerlukannya,” katanya.

Kamariah Abdul Karim, 40, berkata peluang itu digunakan sebaik mungkin untuk mendapatkan pakaian yang sesuai dengannya dan tiga anak berusia antara tujuh hingga 18 tahun.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pihak yang sudi menginfakkan pakaian dan semoga budi baik kalian diberikan ganjaran yang tinggi nilainya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

590
Kongsi :
Previous post Polis buka kertas siasatan Tajuddin tidak pakai pelitup muka
Next post PM Muhyiddin ucap selamat Hari Wesak
Ubah saiz-+=