‘Influencer’ dan tiga lelaki mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik terhadap TYT

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Empat lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan membuat hantaran jelik berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam di laman Twitter masing-masing, akhir bulan lalu.

Tertuduh, Ahmad Zaki Yamani Zainon, 45, Muhamad Ali Aswad Asngadu, 28, Mohd Hermy Rahim, 34, dan Mohd Hafizuddin Rahmad, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mengikut pertuduhan, mereka masing-masing bekerja sebagai jurujual, jurutera, ahli perniagaan dan penyelia itu didakwa menggunakan aplikasi internet melalui laman profil Twitter secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komen jelik terhadap Tun Mohd Ali.

Mereka didakwa secara sedar melakukan perbuatan itu antara 28 hingga 29 Julai lalu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Komen jelik itu kemudiannya dibaca oleh pengadu pada jam 1.07 pagi sehari kemudian di Ujong Pasir, Kampung Atap dekat sini.

Berikutan itu, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 223 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 223(3) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau dipenjarakan sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivasangari yang menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 September depan.

Tertuduh Ahmad Zaki diwakili peguam Saiful Ambar Abdullah manakala tiga lagi diwakili P Purshotaman.

ARTIKEL BERKAITAN : Lapan ditahan bantu siasatan kes hasutan lawatan TYT ke Kampung Kesang Tua

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

984
Kongsi :
Previous post Lebih 28 juta dos vaksin COVID-19 diberikan setakat Isnin – JKJAV
Next post Satu rumah, satu Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=