Satu rumah, satu Jalur Gemilang

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Jasin komited untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, meskipun negara masih berdepan pandemik COVID-19.

Pegawai Penerangan Daerah Jasin, Azreen Ahmad berkata, antara pendekatan pihaknya termasuklah melakukan hebahan kempen ‘Satu Rumah, Satu Bendera Malaysia’ di seluruh pelosok kampung dan komuniti di Jasin.

Katanya, hebahan bergerak menerusi Info On Wheels (IoW) Merdeka Daerah Jasin itu giat dijalankan sepanjang bulan ini, bagi memastikan seluruh rakyat khususnya penduduk Jasin terus mengibarkan Jalur Gemilang dalam sambutan norma baharu tahun ini.

AZREEN (kanan) dalam program Influencer@JaPen Hari Ini yang disiarkan secara langsung di Facebook JaPen Melaka.

“Walaupun sambutan tahun ini dalam suasana norma baharu, namun kita harap rakyat Malaysia khasnya mereka di daerah Jasin terus menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan ini.

“Tak susah mana, hanya beli bendera dan pasang di kediaman masing-masing. Kalau boleh kita mahu satu rumah ada satu Jalur Gemilang dikibarkan.

“Di pihak PPD, kami akan terus turun padang untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan menyeru orang ramai juga agar mengibarkan bersama-sama untuk semarakkan semangat Bulan Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Influencer@JaPen Hari Ini yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook JaPen Melaka.

HEBAHAN bergerak IoW Merdeka yang dijalankan di kawasan komuniti bagi menyemai semangat cintakan negara sepanjang Bulan Kebangsaan. (FOTO: PPD JASIN)

Mengulas lanjut, Azreen berkata, pada masa sama, pihaknya giat mengedarkan Jalur Gemilang di sekitar komuniti, masjid dan surau, rumah ibadat serta bangunan-bangunan kerajaan.

Pada masa sama, sambutan itu dimeriahkan lagi melalui hebahan menerusi IoW Merdeka dengan memasang lagu-lagu patriotik demi menyemarakkan semangat cintakan negara.

“Walaupun masih dalam pandemik yang mengekang kita daripada melakukan sambutan secara meriah seperti tahun-tahun sebelumnya, namun kita tetap komited untuk memastikan semangat Bulan Kebangsaan tidak luntur.

“Diharap dengan program dijalankan ia dapat membantu menyemai semangat cintakan tanah air dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

937
Kongsi :
Previous post ‘Influencer’ dan tiga lelaki mengaku tidak bersalah buat hantaran jelik terhadap TYT
Next post PPV Mega Stadium Hang Jebat siap 80 peratus – MKN
Ubah saiz-+=