Lapan ditahan bantu siasatan kes hasutan lawatan TYT ke Kampung Kesang Tua

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 16 Ogos – Polis Melaka menahan lapan lelaki berusia 21 hingga 45 tahun dipercayai terlibat dalam kes hasutan terhadap lawatan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam, 28 Julai lalu.

Penahanan itu dipercayai susulan ciapan tangkap layar artikel yang diambil daripada Instagram Melaka Hari Ini (MHI) dalam laman sosial yang memaparkan gambar lawatan Mohd Ali ke sebuah rumah di Kampung Kesang Tua, Jasin.

Rumah berkenaan dijadikan gimnasium pemenang pingat emas pertama Filipina, Hidilyn Diaz berlatih acara angkat berat sebelum ke Sukan Olimpik.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, susulan ciapan berkenaan, seramai lapan individu berusia antara 21 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun katanya, semua individu berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis namun hanya empat sahaja bakal berdepan dengan pertuduhan membabitkan kes berkenaan.

“Kelapan-lapan individu berkenaan dipanggil polis bermula 30 Julai lalu hingga 11 Ogos bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan itu, empat daripada lapan individu terbabit berusia antara 28 hingga 45 tahun dipercayai melakukan kesalahan mengikut Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia dan akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media secara atas talian di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1000
Kongsi :
Previous post Kanak-kanak mangsa dera stabil- Polis
Next post Agong berkenan peletakan jawatan PM, lantik Muhyiddin sebagai ‘caretaker’ PM
Ubah saiz-+=