Infrastruktur Kampung Tersusun Bemban akan ditambah baik

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

JASIN 19 Nov – Masalah infrastruktur yang dihadapi 387 penduduk di Kampung Tersusun Bemban Mukim Ayer Panas akan diatasi dalam masa terdekat menerusi insiatif dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM) bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM).

Ketua Pegawai Eksekutif PERTAM, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata ketiadaan infrastruktur yang sempurna di kawasan itu mengakibatkan penduduk terpaksa berhadapan masalah yang sama seperti banjir kilat apabila hujan lebat.

“PERTAM dan PKNM akan melaksanakan perancangan mengatasi masalah yang dihadapi penduduk ini sejak 10 tahun dahulu bermula awal 2022 dan dijangka siap pada tahun 2023.

“Antara masalah dihadapi mereka (penduduk) seperti ketiadaan pembinaan rangkaian jalan raya, bekalan air, retikulasi pembentungan najis dan pencawang elektrik.

“PERTAM menerima pelbagai aduan dari penduduk di kampung ini dan kampung sekiranya berkenaan ketiadaan infrastruktur yang sempurna dan kesan buruk kepada penduduk di sini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

MOHD Ridhwan

Kampung Tersusun Bemban seluas 66.3 ekar itu mengandungi 387 unit lot banglo, 18 unit kedai, pejabat, stesen minyak, tapak masjid, tapak balairaya dan tadika. Selain itu, ia juga menyediakan tapak pencawang elektrik serta kawasan lapang.

“Infrastruktur kampung terbabit ini perlu disiapkan segera bagi kemudahan semua penduduk yang telah, sedang dan akan membina kediaman di lot-lot yang telah mereka beli,” kata Ridhwan.

Katanya lagi, projek tersebut telah menjadi perhatian utama untuk dinaik taraf sejak Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menjadi Ketua Menteri.

“Infrastruktur ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna sejak 2010 dan kini dengan peruntukan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) yang disalurkan kepada PKNM pada Oktober 2020 lalu, masalah penduduk terbabit akan diatasi segera,” katanya.

Untuk rekod tender pembinaan infrastruktur ini telah dikeluarkan di Utusan Malaysia pada 11 November lalu manakala MHI pada 15 November lalu dan tutup pada 14 Disember 2021, pembinaannya dijangka mengambil masa dua tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post Saya tidak tahu nilai tanah RM 100 juta – Najib
Next post Pengundi muda janji kembalikan kerajaan BN
Ubah saiz-+=